Home bajet2022 Pengiktirafan terhadap kepentingan penjagaan kesihatan

Pengiktirafan terhadap kepentingan penjagaan kesihatan

Pengiktirafan terhadap kepentingan penjagaan kesihatan
Khairy Jamaluddin ketika hadir bagi mendengar pembentangan Bajet 2023 di Bangunan Parlimen pada Jumaat. – Foto Bernama

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyifatkan peruntukan RM36.139 bilion kepada kementerian itu sebagai pengiktirafan terhadap kepentingan penjagaan kesihatan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia selari dengan aspirasi kesihatan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia sebagai satu keutamaan kerajaan.

“Peruntukan dalam Bajet 2023 ini adalah pertambahan sebanyak RM3.729 billion atau 11.51 peratus berbanding RM32.4 bilion yang diperuntukkan pada tahun 2022,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, jika dibandingkan dengan keseluruhan peruntukan bajet kerajaan Persekutuan 2023 yang berjumlah RM372.3 bilion, peruntukan yang disediakan kepada KKM adalah sebanyak 11.05 peratus daripada keseluruhan peruntukan bajet.

“Peningkatan dalam peruntukan kepada KKM adalah satu pelaburan yang amat diperlukan bagi memastikan Keluarga Malaysia kekal sihat, mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti seterusnya mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Khairy berkata, Bajet 2023 turut menyaksikan perkhidmatan kesihatan diperkukuhkan bagi memastikan kesejahteraan fizikal dan mental seluruh Keluarga Malaysia terjamin serta tiada golongan ditinggalkan.

“KKM ingin menyatakan bahawa Bajet 2023 mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan aspek kesihatan dititikberatkan di dalam hampir semua dasar merentasi pelbagai kementerian dan agensi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here