Home bajet2022 Ceupacs gesa inisiatif dalam Bajet ikut tempoh ditetapkan

Ceupacs gesa inisiatif dalam Bajet ikut tempoh ditetapkan

Ceupacs gesa inisiatif dalam Bajet ikut tempoh ditetapkan
Adnan Mat

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa semua inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan dalam Bajet 2023 dan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 (MAPPA) mengikut tempoh masa yang ditetapkan tanpa sebarang kelewatan serta proses birokrasi.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya tidak mahu inisiatif yang diumumkan ini lewat, tidak dilaksanakan atau ditetapkan mengikut jumlah peruntukan yang tertentu.

“Mengambil contoh penebusan awal Gantian Cuti Rehat (GCR), peruntukan setiap kementerian dan jabatan bagi menebus GCR 80 hari pada tahun ini didapati tidak mencukupi dan telah habis digunakan sehingga banyak permohonan daripada penjawat awam tidak dapat ditunaikan.

“Situasi ini sudah tentu memberi kekecewaan kepada warga perkhidmatan awam yang sudah dijanjikan dengan inisiatif tersebut tetapi tidak dapat menerimanya.

“Kerajaan sewajarnya menyalurkan peruntukan untuk penebusan GCR berdasarkan permohonan dari masa ke masa dan bukannya memberikan sejumlah peruntukan tertentu yang tidak akan ditambah jika habis digunakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menerusi Bajet 2023, kerajaan bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 sebanyak RM600 yang akan dibayar kepada penjawat awam yang layak pada Mac tahun depan.

Bayaran itu dibuat bersama dengan Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 yang berkuat kuasa Januari tahun depan.

Selain itu, kerajaan bersetuju membayar Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700 menjadikan jumlah tambahan keseluruhan untuk penjawat awam yang layak pada tahun 2023 adalah sebanyak RM2,500.

Penebusan awal GCR pula dinaikkan sehingga 50 peratus atau maksimum 90 hari, berbanding 80 hari diumumkan pada MAPPA Ogos lalu.

Selain itu, Adnan berkata, segala inisiatif yang diumumkan untuk penjawat awam dan rakyat perlu dilaksanakan walaupun berlaku perubahan dalam kerajaan pada masa akan datang.

Menurutnya, inisiatif yang baik ini wajar diteruskan oleh kerajaan baharu dan tidak perlu dibatalkan sebaliknya ditambah dengan lebih baik.

Adnan turut melahirkan keyakinan dan memberi jaminan seluruh penjawat awam akan meletakkan keutamaan bagi menjayakan Bajet 2023.

Bajet ini bukan sekadar apa yang penjawat awam terima tetapi bagaimana untuk memastikan rakyat mendapat manfaat secara komprehensif.

“Komitmen daripada seluruh warga penjawat awam dituntut bagi memastikan segala aspirasi kerajaan melalui Bajet 2023 ini dapat direalisasikan dengan jayanya agar rakyat mendapat manfaat,” ujarnya.

Dalam masa yang sama katanya, penjawat awam mempunyai tugas paling berat dalam memastikan dasar dan rangka tindakan bajet berjaya dilaksanakan.

“Tanggungjawab ini berkait dengan usaha dan proses penambahbaikan serta penyampaian sistem tadbir urus berkesan daripada seluruh warga perkhidmatan awam kerana kitalah tonggak pentadbiran negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here