Home bajet2022 Pemberian wang ihsan tak cermin semangat federalisme

Pemberian wang ihsan tak cermin semangat federalisme

0
Pemberian wang ihsan tak cermin semangat federalisme

Peruntukan wang ihsan kepada Kelantan dan Terengganu masih masih menafikan hak kedua-dua negeri tersebut untuk menerima royalti minyak. Gambar kecil: Mohd Syahir

SHAH ALAM – Peruntukan wang ihsan kepada Kelantan dan Terengganu masih dilihat tidak mencerminkan semangat federalisme yang matang kerana kerajaan masih menafikan hak kedua-dua negeri tersebut untuk menerima royalti minyak.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, agihan perbelanjaan pembangunan kepada negeri pembangkang tidak menunjukkan petanda yang positif.

“Matlamat utama perancangan pembangunan adalah memberi nilai tambah bagi meningkatkan sosio ekonomi dan daya saing negara, seterusnya memastikan kemakmuran ekonomi dinikmati secara lebih adil serta saksama.

“Amat mendukacitakan sekiranya kita mampu memulihkan semula ekonomi negara, namun hanya kembali ke tahap sosio ekonomi sebelumnya, tanpa sebarang perubahan struktur dan budaya ekonomi baharu bagi mendepani cabaran mendatang yang pastinya lebih mencabar,” katanya dalam ciapan di twitter pada Jumaat.

Pada hari yang sama, Menteri di Jabatan Perdana menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak lima peratus kerana kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar 3 batu nautika dari garis air surut wilayah tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Syahir turut menyentuh jumlah perbelanjaan mengurus sudah menghampiri jumlah hasil kerajaan pada paras 99 peratus.

“Perbelanjaan operasi berjumlah RM289.1 bilion dan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM99 bilion dengan anggaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.5 peratus bagi 2023.

“Jangkaan pendapatan lebih rendah iaitu RM291.5 billion berbanding anggaran 2022 iaitu RM292.7 bilion. Defisit fiskal diunjurkan pada 5.0 peratus berbanding KDNK, lebih rendah daripada anggaran 2022 iaitu 5.6 peratus.

“Ini bermakna, setiap hasil yang dipungut kerajaan hanya cukup untuk menampung kos pengurusan kerajaan,” katanya.

Jelas beliau, perkara tersebut dikhuatiri memberikan impak negatif terhadap keupayaan fiskal negara sekiranya terdapat kenaikan kos di luar jangkaan atau kutipan hasil jauh lebih rendah daripada yang dianggarkan.