Home bajet2022 Pelaksanaan Bajet 2022 perlukan pengawasan, pelan tindakan berkesan

Pelaksanaan Bajet 2022 perlukan pengawasan, pelan tindakan berkesan

0
Pelaksanaan Bajet 2022 perlukan pengawasan, pelan tindakan berkesan

KUALA LUMPUR – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berpendapat bahawa pelaksanaan Bajet 2022 memerlukan usaha pengawasan serta pelan tindakan berkesan dalam semua proses membabitkannya.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh berkata, keadaan juga lebih baik sekiranya belanjawan tahunan tersebut turut disertakan dengan kad laporan atau prestasi yang merekodkan semua pencapaian diumumkan dalam bajet-bajet sebelum ini yang dapat meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran sedia ada.

“IDEAS mengalu-alukan kemasukan aspek liabiliti luar jangka dan liabiliti tersirat pihak kerajaan dalam Laporan Tinjauan Fiskal berkaitan kerjasama awam-swasta, inisiatif kewangan swasta dan PBLT Sdn Bhd (syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan), namun menyeru agar lebih banyak pendedahan mengenai pemberian konsesi bina-pajak-senggara-pindah (BLMT) kepada beberapa pihak yang dipilih.

“Ketelusan dan pertanggungjawaban awam perlu menjadi satu ciri kekal dalam semua pengumuman kerajaan, terutamanya bagi dokumen sepenting belanjawan yang menetapkan hala tuju perbelanjaan kerajaan berdasarkan bayaran cukai rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tricia berkata, IDEAS turut mengakui bahawa belanjawan sebanyak RM332.1 bilion yang merupakan terbesar itu adalah diperlukan ketika pandemik.

“Namun sebahagian besar pengumuman bajet itu menumpukan langkah-langkah jangka pendek dan (sebaliknya) lebih banyak boleh dilakukan untuk memberi penekanan ke atas pemulihan ekonomi jangka panjang dan pertumbuhan, terutama terhadap sektor swasta yang menjadi enjin pertumbuhan.

“Walaupun Cukai Makmur adalah satu langkah sekali sahaja yang diperlukan bagi jangka pendek hingga sederhana berikutan hasilnya akan dikutip bermula 2023, pelaksanaan cukai sebegini pada masa hadapan perlu diseimbangkan dengan kesan potensinya terhadap sektor swasta,” katanya.

Badan pemikir itu juga berpendapat bahawa Akta Tanggungjawab Fiskal yang dijadual dibentangkan pada 2022 dan usaha ke arah melaksanakan Penyata Perbelanjaan Cukai serta Semakan Perbelanjaan Awam, sebagai langkah baik dan berharap dokumen itu dapat dikongsi bersama awam.

“Sesi perundingan awam juga perlu diadakan bersama badan-badan pemikir dan organisasi penyelidikan yang bersesuaian untuk menerbitkan dokumen-dokumen tersebut.”

Selain itu, IDEAS turut berkongsi kebimbangan berhubung peningkatan kecil perbelanjaan untuk Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, ini berikutan terdapat keperluan untuk terus memperkukuh sistem penjagaan kesihatan awam ketika pandemik Covid-19 selain persiapan menghadapi sebarang krisis kesihatan yang tidak dijangkakan pada masa depan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here