Sulaiman (tengah) ketika bersalaman dengan calon SPM di SMK Bukit Baru di Bukit Beruang di sini, pada Isnin.
MELAKA – Melaka berharap peruntukan bagi menangani isu penyuraian trafik dan pendidikan dapat disalurkan kepada kerajaan negeri dalam Belanjawan 2023 yang berlangsung Jumaat ini.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, langkah itu penting bagi memastikan Melaka sebagai salah satu destinasi pelancongan dapat menarik lebih ramai pelancong sekiranya kesesakan aliran trafik diberikan perhatian.
Menurutnya, selepas pandemik Covid-19 ramai pelancong yang datang ke Melaka dan beberapa cadangan akan dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan untuk dipertimbangkan.
“Saya harap kali ini bajet itu akan terus, keduanya ada tambahan kepada sistem penyuraian terlalu sesak ketika ini.
“Begitu juga dengan peruntukan sekolah-sekolah seperti Sekolah Sains Muzaffar Syah masalah jalan bercerun dan lain-lain,” katanya kepada pemberita selepas meninjau dan beramah mesra dengan calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru di Bukit Beruang di sini, pada Isnin.
Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan jaminan bahawa Belanjawan 2023 yang akan dibentang 24 Februari ini akan memenuhi keperluan setiap lapisan rakyat dan kumpulan masyarakat.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kandungan Belanjawan 2023 masih diperincikan lagi namun beliau memberi jaminan pentadbiran di bawah pentadbirannya tidak akan meminggirkan mana-mana kumpulan masyarakat.