Home bajet2022 KKM manfaat RM36.3 bilion naik taraf fasiliti daif

KKM manfaat RM36.3 bilion naik taraf fasiliti daif

0
KKM manfaat RM36.3 bilion naik taraf fasiliti daif

Dr Zaliha menyaksikan penyerahan replika kunci bangunan tambahan Hospital Segamat oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool (kiri) kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Zamzuri Abd Aziz pada Majlis Penyerahan Projek Bangunan Tambahan Hospital Segamat, Johor pada Sabtu. – Foto Bernama

SEGAMAT – Kementerian Kesihatan (KKM) akan memanfaatkan sebaiknya peruntukan RM36.3 bilion yang diterima menerusi Belanjawan 2023 dengan mengutamakan kerja-kerja menaik taraf fasiliti kesihatan di seluruh negara terutama yang melebihi usia 50 tahun.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, KKM mengenal pasti 1,200 klinik kesihatan yang dikategorikan daif dan usang atau terkesan daripada beban pengoperasian ketika pandemik Covid-19 yang terlalu tinggi.

“Klinik kesihatan berusia lebih 50 tahun memang banyak termasuk di luar bandar dan kawasan pinggir bandar. Bagaimanapun, 400 buah akan diutamakan terlebih dahulu dan kita akan menggunakan peruntukan ini sebaiknya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Bangunan Tambahan Hospital Segamat di sini pada Sabtu.

Pada Khamis lepas, Dr Zaliha dilaporkan berkata, KKM mengemukakan permohonan peruntukan khusus untuk penambahbaikan dan menaik taraf fasiliti kesihatan di seluruh negara dengan kadar segera terutamanya 1,200 daripada 3,119 klinik kesihatan KKM telah melebihi usia 50 tahun, daif dan usang dengan sebahagian besar dibina menggunakan struktur kayu.

Mengenai peruntukan bagi lantikan baharu secara tetap dan kontrak kepada lebih 1,500 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi menerusi Belanjawan 2023, Dr Zaliha berkata, KKM akan berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) mengenai inisiatif itu bagi penempatan kakitangannya.

Mengenai Projek Bangunan Tambahan Hospital Segamat, beliau berkata, projek bernilai RM90.5 juta dengan pertambahan 67 katil pesakit meliputi Jabatan Kecemasan dan Trauma, Dewan Bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU), Unit Dependensi Tinggi (HDU), Jabatan Bekalan Bahan Steril (CSSD) dan Unit Respiratori dan Hemodinamik (RHU) itu dijadual beroperasi secara berfasa mulai 5 Mac depan.

Ahli Parlimen Sekijang itu juga mengumumkan peruntukan berjumlah RM600,000 bagi kerja pembinaan 422 lot parkir di Hospital Segamat sekali gus dijangka mampu mengatasi isu kesesakan yang akan berlaku apabila bangunan tambahan tersebut mula beroperasi kelak.

Sementara itu, Dr Zaliha dalam kenyataan berasingan memaklumkan, kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM340 juta bagi membaik pulih 400 klinik daif termasuk hospital di seluruh negara dan penyelenggaraan peralatan perubatan meliputi Medical Equipment Enhancement Tenure (MEET) sebanyak RM160 juta dan penggantian peralatan perubatan usang RM100 juta.

Beliau berkata, peruntukan Belanjawan 2023 bagi kementerian kali ini merupakan satu permulaan yang amat positif ke arah peningkatan belanjawan sektor kesihatan kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Peruntukan (RM36.3 bilion) ini bersamaan dengan dua peratus daripada unjuran KDNK 2023 oleh Kementerian Kewangan dan merupakan peningkatan berbanding tahun 2022 iaitu 1.89 peratus.

“Bagaimanapun, KKM yakin lima peratus tersebut dapat dicapai dan dipenuhi oleh kerajaan secara berperingkat dalam masa lima tahun susulan perkembangan ekonomi negara yang semakin pulih dan berkembang pesat,” tambah Dr Zaliha.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 berkata, sektor kesihatan menerima peruntukan kedua terbesar dalam Belanjawan 2023 iaitu sebanyak RM36.3 bilion berbanding R,M32.4 bilion tahun lepas. – Bernama