Home bajet2022 'Kill Switch' bantu pengguna bekukan akaun sendiri, elak scam

'Kill Switch' bantu pengguna bekukan akaun sendiri, elak scam

0
'Kill Switch' bantu pengguna bekukan akaun sendiri, elak scam

BNM akan menguatkuasakan dasar ‘kill switch’ bagi membolehkan pengguna mengambil tindakan segera membekukan akaun mereka.

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bank Negara Malaysia (BNM) akan menguatkuasakan dasar ‘Kill Switch’ kepada semua institusi perbankan bagi membolehkan pengguna mengambil tindakan segera membekukan akaun mereka termasuk kad ATM daripada digunakan sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut bertujuan menangani jenayah penipuan dalam talian atau ‘scam’ yang semakin parah di negara ini.

“Untuk tahun 2022 sahaja, lebih 25,000 jenayah ini direkodkan dengan kerugian sebanyak RM850 juta.

“Walaupun kerajaan telah menubuhkan National Scam Response Centre (NSRC), tetapi belum ada dasar seragam dalam menangani isu ini kerana setiap institusi perbankan mengeluarkan garis panduan masing-masing.

“Bagi mengukuhkan peranan NSRC, sejumlah RM10 juta disediakan bagi geran pengoperasian,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Sementara itu, ujar Anwar, perkhidmatan kerajaan perlu cerdas mengadaptasi teknologi dan pendigitalan bagi mengurangkan kerenah birokrasi.

Menurutnya, inisiatif anjakan baharu juga diperlukan bagi membolehkan pelaksanaan daya perkhidmatan awam yang terbaik untuk rakyat.

“Sebuah Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara telah ditubuhkan untuk menerajui hasrat ini.

“Dana akan disediakan bagi pelaksanaan projek rintis oleh kementerian yang boleh menambah baik perkhidmatan kerajaan kepada rakyat di bawah STAR.

“Kementerian yang berjaya akan diberikan peruntukan penuh untuk pelaksanaan projek di peringkat nasional,” ujarnya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri telah mengambil langkah strategik dengan menaik taraf perkhidmatan MyGovCloud.

Ulasnya, langkah itu bertujuan memastikan perkhidmatan pengkomputeran awan dalam sektor awam berfungsi dengan lebih berkesan.

“Perkhidmatan ini mampu berfungsi secara hibrid dengan turut menggabungkan perkhidmatan ‘public cloud’ oleh ‘cloud service provider’ yang dilantik kerajaan.

“Kerajaan akan memastikan lebih banyak pusat data dapat dibuka di Malaysia dengan memberi imbuhan cukai dan infrastruktur keselamatan yang berpatutan, kemudahan tenaga hijau dan lokasi untuk membuka pusat ini,” menurutnya.