Home bajet2022 Kemakmuran dikecapi 2022 pacu daya tahan ekonomi negara 2023

Kemakmuran dikecapi 2022 pacu daya tahan ekonomi negara 2023

0
Kemakmuran dikecapi 2022 pacu daya tahan ekonomi negara 2023

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Bangunan Parlimen pada Jumaat. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Kesejahteraan yang dikecapi Malaysia pada tahun 2022 dengan hasil yang jauh lebih tinggi susulan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan menjadi pemangkin kepada kerajaan memperuntukkan jumlah yang lebih besar dalam Belanjawan 2023, bagi memastikan ekonomi negara mampu mengharungi cabaran luar.

Justeru, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membentangkan Belanjawan 2023 itu di Dewan Rakyat pada Jumaat telah mengumumkan peruntukan sejumlah RM388.1 bilion, meningkat daripada RM372.3 bilion yang dibentangkan pada Oktober 2022.

Sejumlah RM289.1 bilion diperuntukkan untuk belanja mengurus dan RM99 bilion bagi belanja pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka, katanya.

Selaras dasar fiskal mengembang, peruntukan pembangunan ditingkatkan kepada RM97 bilion ketimbang (berbanding) RM71.6 bilion tahun lalu.

“Peningkatan ini adalah untuk menumpukan program membasmi kemiskinan, baik pulih prasarana awam dan kemudahan desa.

“Dengan pembaharuan tatacara perolehan kerajaan, akan dipastikan perbelanjaan tambahan ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata, Belanjawan 2023 bertema ‘Membangun Malaysia Madani’ itu merupakan cerminan prinsip pertanggungjawaban dan sistem nilai yang luhur yang mampu mendepani tantangan semasa termasuk tantangan ekonomi global yang sarat dengan ketidaktentuan.

Belanjawan 2023 pada asalnya dibentangkan oleh kerajaan terdahulu tetapi tidak dapat diluluskan sebelum Parlimen dibubarkan.

Anwar berkata, pertumbuhan ekonomi diunjurkan tumbuh sekitar 4.5 peratus, setelah mengambil kira ikhtiar untuk melaksana pembaharuan dan reformasi pentadbiran.

“Saya yakin negara akan melepasi unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.5 peratus. Tentunya, ini didorong langkah tuntas Belanjawan 2023 yang akan memacu pertumbuhan lebih mampan selain keyakinan pelabur antarabangsa yang kembali merancakkan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kutipan hasil 2023 dijangka berjumlah RM291.5 bilion daripada RM294.4 bilion pada tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, jumlah itu belum mengambil kira sumber hasil tambahan dan yakin akan meningkatkan hasil tahun ini ke paras yang lebih tinggi.

Selain itu, Anwar berkata, defisit fiskal 2023 dikurangkan kepada 5.0 peratus ketimbang 5.6 peratus tahun lalu dan kerajaan bertekad untuk mencapai tahap defisit fiskal yang mampan dalam jangka masa sederhana dengan sasaran 3.2 peratus kepada KDNK menjelang 2025.

Beliau turut menyatakan Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal akan dibentangkan ke Parlimen tahun ini untuk menjamin kebijakan ekonomi lebih telus dan bertanggungjawab bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlakunya keterlanjuran berterusan pada masa akan datang.

“Kerajaan akan mengambil pendekatan yang progresif dalam konteks subsidi bersasar atau struktur percukaian bagi melindungi golongan kurang bernasib baik dan mengharapkan pemahaman rakyat yang lebih kaya untuk menggalas tanggungjawab secara bersama,” tambahnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menjelaskan kerajaan belum bercadang melaksanakan cukai kepenggunaan berasas luas seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Beliau menjelaskan dalam keadaan rakyat terbanyak yang masih susah, inflasi makanan lebih 5.0 peratus, kadar upah yang masih rendah, maka ternyata ia bukan masa yang sesuai untuk memperkenal dan melaksanakan cukai itu.

Sementara itu, kerajaan bercadang memperkenalkan Cukai Barangan Mewah serta mengkaji memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai tahun 2024 pada kadar yang rendah, katanya.

Bagi memastikan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terus berdaya saing, kerajaan akan mengurangkan kadar cukai ke atas pendapatan bercukai bagi 150,000 pertama daripada 17 peratus kepada 15 peratus.

Beliau berkata, hampir RM10 bilion dana pinjaman bagi perniagaan kecil dan sederhana (PKS) akan disediakan oleh Bank Negara Malaysia bagi meringankan beban kewangan dan menyokong pengembangan perniagaan mereka.

Dalam usaha merancakkan pelaburan sektor berteknologi dan berimpak tinggi, Invest Malaysia Council dan Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI) akan menerajui usaha mempercepatkan kelulusan projek-projek pelaburan berpotensi tinggi, kata Anwar.

“Kerajaan akan menambahbaik prosedur menjalankan perniagaan bagi mengurangkan birokrasi termasuk memberikan insentif kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memudahcara pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan bagi memastikan usaha pelaburan dapat dipercepat,” jelasnya.

AKAN MENYUSUL