Home bajet2022 Belanjawan 2023: 'Jutaan terima kasih kepada PM'

Belanjawan 2023: 'Jutaan terima kasih kepada PM'

0
Belanjawan 2023: 'Jutaan terima kasih kepada PM'

Onn Hafiz – Bernama.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan yang menyalurkan peruntukan besar kepada Johor sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada Jumaat.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pentadbiran negeri menzahirkan komitmen di peringkat tertinggi bagi memudahcara kesemua projek demi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan berterusan Bangsa Johor dan pembangunan negeri ini.

Katanya, projek yang diberikan peruntukkan besar ialah naik taraf Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) serta infrastruktur lain negeri ini.

“Bagi kerajaan negeri, saya menzahirkan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, kerana bersetuju melaksanakan projek naik taraf Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Yong Peng Utara ke Senai Utara – Fasa 1, Johor daripada empat kepada enam lorong dengan kos RM525 juta secara berfasa.

“Selain itu, kerajaan Persekutuan juga bersetuju untuk menambah baik kemudahan jaringan lebuhraya ke Pengerang melalui pembinaan lorong memotong di Senai Desaru Expressway (SDE).

“Sudah pasti dengan pelebaran laluan utama ini, ia akan usaha meningkatkan kesalinghubungan, yang bukan sahaja penting untuk logistik perniagaan, tetapi juga hubungan sesama rakyat dari dalam dan luar Johor,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu

Onn Hafiz berkata, kerajaan Persekutuan juga bersetuju supaya enam projek tebatan banjir melalui proses tender semula dengan segera, selewat-lewatnya Jun tahun ini.

Katanya, ia termasuk Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Johor, Kota Tinggi bagi menangani banjir di daerah berkenaan.

“Tidak ketinggalan, cadangan memperkukuhkan lagi pembangunan Iskandar Malaysia di Johor melalui pewujudan zon khas kewangan, dengan pakej imbuhan bagi menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi, turut diumumkan Perdana Menteri, semalam.

“Alhamdulillah, Datuk Seri Anwar juga turut mengumumkan kerja-kerja awalan bagi menaik taraf 26 buah hospital di seluruh negara, termasuk pembesaran Hospital Pontian, Johor yang telah berusia hampir seabad, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat mendapatkan kemudahan rawatan terbaik.

“Tidak dilupakan, pengenalan Pas Perjalanan Tanpa Had myBAS50 untuk manfaat rakyat Johor Bharu yang menggunakan perkhidmatan bas henti-henti di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST), turut sama diumumkan semalam,” katanya.