Zukiman (dua dari kiri) mengemudi bot fiber berenjin 175 kuasa kuda.Nelayan menunjukkan pukat mereka yang perlu diganti setiap lima bulan.Zukiman (kiri), Noor Azlan (tengah) dan Iswadi (kanan) memeriksa pukat mereka di Kemayang, Bachok.
BACHOK – Nelayan tradisi di Pantai Kemayang di sini berharap kerajaan dapat menaikkan elaun sara hidup mereka melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Jumaat.
Nelayan, Zukiman Daud, 45, berkata, elaun RM300 yang diterima setiap bulan ketika ini tidak mencukupi dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat.
“Situasi barangan sekarang serba-serbi mahal. Nelayan terutama pada waktu musim tengkujuh sebegini, 100 peratus bergantung kepada duit bantuan itu untuk membeli makan, minum dan meneruskan kehidupan.
“Pendapatan nelayan masa kini sudah tidak dapat disimpan sebaliknya kami hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Jeti Kemayang di sini pada Khamis.
Menurut bapa tiga anak itu, perbelanjaan yang tinggi diperlukan terutama bagi menampung dua lagi anak berusia 14 dan 10 tahun yang masih bersekolah.
**media[2104030]**
Iswadi Daud, 43, pula berkata, ada nelayan sepertinya terpaksa melalukan pekerjaan sampingan pada musim monsun bulan Disember seperti bekerja kilang atau membuat rumah untuk menampung perbelanjaan sementara dapat ke laut bagi menangkap ikan pada Mac.
Katanya, Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar membantu meringankan bebanan ditanggung mereka termasuk dengan cara meningkatkan subsidi petrol sedia ada.
“Subsidi maksimum 50 liter (L) tidak mencukupi untuk bot-bot fiber berenjin besar misalnya 175 kuasa kuda yang memerlukan lebih 100L petrol sehari.
“Kalau gunakan bot dan enjin yang lebih kecil pula, hasil tangkapan kurang berbanding menggunakan enjin lebih besar untuk pergi lebih jauh ke laut bagi menangkap ikan,” katanya yang berpengalaman selama 27 tahun sebagai nelayan.
**media[2104031]**
Sementara itu, nelayan pesisir pantai, Noor Azlan Ab Azid, 36, berkata, nelayan juga memerlukan bantuan dari segi peralatan menangkap ikan seperti pukat.
“Pukat alat paling penting yang memerlukan modal untuk nelayan menangkap ikan kerana perlu digantikan setiap lima bulan bergantung kepada kerosakan seperti terlekat atau koyak akibat tersangkut pada unjang dan batu.
“Harga pukat sahaja sudah mencecah RM110 sehingga RM300 bagi yang lengkap dengan timah. Jumlah pukat bergantung pada nelayan, ada memerlukan sehingga 30 pukat yang menelan belanja sehingga RM9,000,” katanya.