Home bajet2022 Nelayan harap elaun naik, diberi subsidi peralatan

Nelayan harap elaun naik, diberi subsidi peralatan

0
Nelayan harap elaun naik, diberi subsidi peralatan

Selain isu PSI, nelayan Pulau Pinang juga berharap agar subsidi peralatan diberikan kepada mereka dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada Jumaat. (Gambar kecil : Ibrahim)

GEORGETOWN – Seramai lebih 6,000 nelayan di Pulau Pinang berharap agar kerajaan memberi penekanan terhadap beberapa isu utama yang dihadapi mereka terutamanya cadangan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) dalam Belanjawan 2023.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara), Ibrahim Che Rose berkata, walaupun pihaknya kini memfokuskan isu PSI, namun ada beberapa lagi isu penting yang diharapkan dimasukkan ke dalam belanjawan yang akan dibentangkan pada Jumaat.

Kata Ibrahim, antara harapan nelayan di Pulau Pinang adalah elaun sara hidup nelayan dinaikkan daripada RM300 ke RM500 selain mengekalkan subsidi minyak petrol kepada nelayan berdaftar.

“Isu PSI sentiasa menjadi keutamaan kerana kami masih dengan pendirian seperti sebelum ini, iaitu membantah agar ia dilaksanakan kerana memberi kesan buruk kepada ekosistem hidupan laut serta alam sekitar. Bagaimanapun, ada lagi beberapa isu penting lain yang semua nelayan di negeri ini berharap kerajaan memberi penekanan.

“Isu elaun sara hidup, dengan keadaan ekonomi sekarang dan harga barang tinggi, kami berharap agar elaun dinaikkan sebanyak RM200. Selain itu, kami juga berharap agar subsidi minyak petrol dikekalkan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Ibrahim berkata, selain minyak petrol, Pen Mutiara juga berharap agar nelayan diberikan subsidi dalam pembelian peralatan lain antaranya pukat, enjin bot serta peralatan menangkap ikan.

“Kalau boleh, kami nak dibuat seperti Pertubuhan Peladang, apa sahaja peralatan yang hendak dibeli, ada subsidi. Semua naik harga sekarang, enjin 150CC pun berharga RM60,000. Pukat, sekeping antara RM40 hingga RM65, itu belum lengkap. Jika lengkap, sekeping berharga RM300.

“Semua peralatan ini kami beli sendiri secara tunai tanpa ada subsidi. Oleh itu, kami berharap agar Kerajaan Perpaduan yang baru ini mengambil maklum tentang isu ini,” katanya.

Selain itu, Ibrahim juga berharap agar peruntukan yang diberikan untuk prasarana pada pengkalan nelayan di 37 unit nelayan di Pulau Pinang diperhalusi.

“Sebelum ini ada peruntukkan tetapi tidak mencukupi. Ia menyebabkan beberapa prasarana di pengkalan nelayan tidak dapat disiapkan contohnya di Unit Nelayan Teluk Tempoyak, sudah enam tahun jeti di situ tidak dapat disiapkan kerana peruntukkan tak cukup.

“Selain itu, fasiliti lain antaranya kebocoran pada dewan nelayan dan tempat tarik sampan (slip way) juga tidak sempurna. Jadi, kita berharap agar kerajaan memberi penelitian kepada peruntukkan terhadap pengkalan nelayan di sini,” katanya.

Tambah beliau, Pen Mutiara juga berharap agar pengurusan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di seluruh negara diserahkan terus kepada persatuan nelayan.

“Ketika ini, semua urus tadbir Kompleks LKIM dibuat oleh persatuan nelayan. Kami dengar ura-ura kontrak untuk mengurus tadbir kompleks oleh persatuan nelayan tidak akan disambung.

“Oleh demikian, kami berharap agar urus tadbir Kompleks LKIM di seluruh negara diserahkan kepada persatuan nelayan untuk selama-lamanya kerana ia juga salah satu sumber pendapatan nelayan,” katanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual akan membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

Pembentangan itu dikatakan bakal mencuri perhatian rakyat kerana selepas 26 tahun, Anwar kembali untuk mengemukakan pelan nasional yang dijangka merangkumi peruntukan bagi bidang digitalisasi, sekuriti makanan dan industri kecil sederhana.