Fahmi ketika mesyuarat bersama wakil-wakil media hari ini. – Foto Bernama
KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah mengemukakan cadangannya kepada Kementerian Kewangan berhubung Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, beliau mengharapkan beberapa berita gembira yang akan diumumkan untuk kementerian di bawah belanjawan berkenaan, dan satu daripada inisiatif utama untuk KKD ialah merapatkan jurang digital khususnya berkaitan akses Internet dan universal.
“Kami berharap satu daripada inisiatif yang jika dipersetujui Menteri Kewangan, akan dapat memberi kesan dan menambah baik secara langsung kepada sektor ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan Concorde Club bersama wartawan veteran dan editor kanan di sini hari ini.
Fahmi berkata, terdapat kira-kira tiga peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara dengan hampir 2,000 rumah panjang di kawasan terpencil, pulau dan pos Orang Asli yang perlu dihubungkan, serta aspek lain yang perlu diselesaikan seperti isu perkongsian rangkaian.
Belanjawan 2023 dijadualkan dibentang Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini.
Sementara itu, Fahmi berharap perbincangan, pertimbangan dan keputusan berhubung tindakan pelancaran 5G dan peranan Digital Nasional Berhad (DNB) dapat dibawa ke Kabinet sebelum akhir Mac.
Beliau berkata, hal ini untuk memastikan pelancaran 5G dapat dipercepatkan.
“DNB kini di bawah bidang kuasa kementerian ini dan menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan apa jua keputusan yang dibuat akan mengambil kira kedudukan semua pihak berkepentingan serta idea, pemikiran dan kebimbangan mereka termasuk kewajipan kontrak yang telah dilaksanakan tetapi kita juga perlu menilai kaedah yang memastikan pelancaran 5G dapat dipercepatkan,” katanya.
Pada 24 Januari lepas, Fahmi dilaporkan berkata, KKD dijangka mengumumkan pengenalan dan pelaksanaan 5G oleh DNB dengan ciri-ciri tambahan menjelang akhir Mac.
Menurut Fahmi, DNB sedang mengkaji dan menilai pilihan yang ada untuk memastikan pelaksanaannya bukan hanya mencapai kejayaan 80 peratus tetapi juga akan diperluaskan ke seluruh negara. – Bernama