Home Rasuah Busters 'Tidak sampai hati gugurkan kandungan' – Rebecca

'Tidak sampai hati gugurkan kandungan' – Rebecca

0
'Tidak sampai hati gugurkan kandungan' – Rebecca
Rebecca Nur Al Islam ketika menjadi panelis program MUM bertajuk ‘Pengorbanan yang tiada had’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin. – Foto MUHAMMAD SYARIN KHAIRI

SHAH ALAM – Pelakon dan usahawan, Datin Rebecca Nur Al Islam Ahmad mendedahkan dirinya pernah diberi pilihan oleh doktor sama ada mahu meneruskan kandungan atau pun tidak kerana berdepan dengan risiko hamil anak keenam.

Beliau berkata, kandungan berkenaan dimaklumkan berisiko tinggi kerana sebelum ini kesemua cahaya mata dilahirkan menerusi pembedahan dan mungkin turut membahayakan dirinya.

Kata Rebbecca, bagaimanapun beliau tidak sampai hati untuk mengugurkan kandungan tersebut kerana doktor mengesahkan kandungan itu sudah mempunyai degupan jantung.

“Saya buat pemeriksaan agak lewat, walaupun lambat datang haid tetapi tidak terlalu memikirnya (mengandung), apabila buat pemeriksaan saya memang mengandung.

“Masa pergi klinik, doktor ada tanya saya dan suami sama ada mahu teruskan atau mengundur tetapi saya tidak sampai hati. Lagipun doktor tengok laporan sebelum ini baik,” ujarnya pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis program MUM bertajuk ‘Pengorbanan yang tiada had’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian.

Tambah Rebbeca, banyak amalan berpantang selepas bersalin secara tradisional yang diamalkan.

“Siapa kenal saya, saya ini jenis kekampungan, suka pantang cara ibu-ibu kita dahulu. Suka duduk rumah guna perubatan tradisional untuk kuatkan dalaman selepas bersalin.

“Mungkin sebab itu, laporan kesihatan menunjukan saya berada dalam keadaan baik,” jelasnya.

Beliau turut meluahkan rasa rindu untuk kembali aktif berlakon, namun terpaksa lupakan demi memberikan tumpuan kepada keluarga.

Katanya, kesemua tawaran diterimanya memerlukan komitmen tinggi termasuk lokasi penggambaran di luar Kuala Lumpur untuk tempoh yang agak lama.

“Jadi, saya lupakannya kerana apa yang paling penting sekarang adalah suami dan anak-anak,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here