Kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi menambah bilangan renjer yang mengawal dan mempertahankan khazanah semula jadi serta memastikan masa depan yang lebih hijau untuk negara. – Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – [KEMAS KINI] Kerajaan akan menambah bilangan renjer yang mengawal kawasan hutan kepada 1,500 orang bagi mempertahankan khazanah semula jadi negara dan memastikan masa depan yang lebih hijau untuk semua.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia akan dilaksanakan dengan mengutamakan khidmat komuniti Orang Asli dan veteran tentera serta polis.
Jelas beliau, sebanyak RM50 juta telah diperuntukan berkaitan perkara tersebut.
“Kerasukan dan kegelojohan menggondol khazanah alam, pembalakan bermaharajalela, antara sebab terjadi bencana besar. Di samping mengejar pertumbuhan ekonomi, penting untuk kita mengadun sebuah mutu kehidupan yang mampan dan seimbang serta menjaga hubungan antara manusia dan alam.
“Tekad kerajaan adalah untuk mempertahankan khazanah semula jadi negara, ke arah memastikan masa depan yang lebih hijau untuk semua.
“Ini termasuklah memelihara biodiversiti dan pengurusan hutan yang pada masa sama mengurangkan kebergantungan Kerajaan Negeri kepada hasil balak,” katanya yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Selain itu, menurut beliau, peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) kepada Kerajaan Negeri akan ditingkatkan kepada RM150 juta setahun berbanding RM70 juta ringgit tahun lalu.
Tambah Ahli Parlimen Tambun itu, agihan EFT kepada negeri-negeri akan mengambil kira pewartaan kawasan perlindungan baharu termasuk habitat harimau dan mempergiat penanaman semula pokok di kawasan terosot.
Pada masa sama, katanya, sejumlah RM38 juta turut disediakan bagi memelihara hidupan liar seperti harimau dan gajah serta habitat hutannya.