Home bajet2022 Bajet 2023: Tingkat keupayaan tempur TLDM

Bajet 2023: Tingkat keupayaan tempur TLDM

0
Bajet 2023: Tingkat keupayaan tempur TLDM
Penambahan bajet pertahanan kritikal terutama dalam meningkatkan keupayaan aset tempur TLDM yang semakin usang.

KOTA KINABALU – Bajet 2023 wajar menitikberatkan perolehan baharu dan menaik taraf keupayaan aset ketenteraan menerusi penambahan peruntukan pertahanan bagi menangani ancaman terhadap keselamatan negara, kata Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali.

Beliau berkata, menerusi kenyataan penambahan bajet pertahanan itu kritikal terutama dalam meningkatkan keupayaan aset tempur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang semakin berusia dan berdepan isu keusangan.

“Isu keusangan aset merupakan cabaran utama yang didepani oleh TLDM dalam usaha mengatur gerak aset-asetnya secara maksimum.

“Dengan perubahan landskap ancaman maritim semasa dan campur tangan kuasa besar di Laut China Selatan, TLDM sangat memerlukan aset-aset berkeupayaan tempur bagi mendepani ancaman keselamatan kepada negara,” katanya.

Sabri berkata, perolehan aset baharu seperti Littoral Combat Ship dan Littoral Mission Ship kumpulan kedua penting bagi TLDM menggalas tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Markas Pemerintahan Armada Timur berpendapat bahawa isu keusangan aset TLDM ini tidak akan berlaku jika bajet tahunan negara menyediakan peruntukan pertahanan yang mencukupi bagi memenuhi keperluan mempertahankan negara daripada ancaman keselamatan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyokong cadangan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany bahawa negara perlu meningkatkan bajet pertahanan kepada 1.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan ia bukanlah sesuatu yang mustahil dilakukan.

“Bajet pertahanan perlu diibaratkan seperti membeli polisi insuran kepada keselamatan negara. Keselamatan negara akan berdepan risiko yang tinggi sekiranya hanya membeli polisi yang minimum. Kesannya akan lebih merugikan apabila negara berdepan krisis keselamatan,” katanya.

Sabri berkata, Markas Pemerintahan Armada Timur akan kekal fokus mendukung misi TLDM untuk mempertahankan kedaulatan dan melindungi kepentingan maritim negara.

“Walaupun aset-aset sedia ada bukan pada tahap yang terbaik, Armada Timur akan kekal komited dan bersedia sebilang masa untuk memikul tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sedaya mungkin,” katanya.

Beliau berkata, janji TLDM itu dizahirkan menerusi Eksesais KERISMAS 27/2022 yang sedang berlangsung di Laut China Selatan iaitu ketika ini 23 aset dari Armada Timur dan Barat berada di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu untuk menjalani latihan tahunan tersebut.

“Eksesais ini akan menguji tahap kesiagaan aset-aset TLDM dan kecekapan warga kapal dalam melaksanakan setiap prosedur operasi maritim serta menilai sistem sokongan bahagian logistik TLDM,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here