KEPALA BATAS – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berharap peruntukan kementerian itu akan meningkat pada Bajet 2023, bagi membolehkan pelbagai program untuk memastikan kelangsungan bekalan makanan negara, dapat diteruskan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, MAFI merupakan salah satu kementerian yang penting, khususnya dalam memberi jaminan keselamatan bekalan makanan dalam negara.
“Pelbagai program perlu dilaksanakan secara berterusan, di samping menyusun program baharu bagi memastikan kerancakkan pengeluaran bekalan makanan dalam negara.
“Semua ini memerlukan dana yang berterusan dan MAFI berharap Kementerian Kewangan melihat ini sebagai sesuatu yang perlu diberi keutamaan dan seterusnya meningkatkan peruntukan MAFI pada Bajet 2023 yang akan dibentang pada 7 Oktober akan datang,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Pulau Pinang di sini pada Khamis.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, salah satu usaha dalam pembangunan pertanian yang dilaksanakan kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), ialah Program Penanaman Padi Lima Kali dalam Tempoh Dua Tahun, yang dicadang untuk dilaksanakan pada bulan Disember 2022 sebagai musim penanaman tambahan.
Beliau berkata, program rintis ini akan melibatkan kawasan seluas 1,220 hektar sawah padi dan dijangka dapat meningkatkan pendapatan 628 pengusaha sebanyak 25 peratus, berbanding mengusahakannya empat kali dua tahun.
“Usaha-usaha ini adalah selaras dengan manifestasi dan komitmen kerajaan bagi terus memperkasa golongan pesawah serta Pertubuhan Peladang, menjadi sebuah entiti yang kompeten dan berdaya saing dalam sektor agromakanan negara, dengan tadbir urus yang baik di setiap peringkat,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, MAFI sedang menerajui Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) bagi memodenkan sektor agromakanan negara sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), bagi memastikan sektor ini kekal mampan mendepani cabaran globalisasi dan persaingan dalam pasaran terbuka.
Malah, katanya cabaran globalisasi semasa juga memerlukan negara meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos pengeluaran, khususnya melalui adaptasi teknologi IR4.0 dan pengamalan budaya inovasi dalam sektor agromakanan negara.
“Dalam hal ini, saya menyeru agar rangkaian Pertubuhan Peladang di seluruh negara sentiasa meningkatkan daya inovasi, dengan meneroka teknologi pertanian baharu dan moden bagi membantu para peladang meningkatkan hasil keluaran,” katanya. – Bernama