Fuziah (kanan) pada Sesi Dialog mengenai pembagunan ekosistem kesihatan berdasarkan konsep waqaf sebagai instrumen menangani kos sara hidup di sebuah hotel hari ini. – Foto Bernama
JOHOR BAHRU – Kos sara hidup yang memberi kesan kepada semua golongan bukan sahaja B40, menjadi antara aspek tumpuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dalam Bajet 2023.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, cadangan terbaik menangani kos sara hidup telah diberikan kementeriannya berdasarkan maklum balas yang diterima daripada rakyat.
“Kos sara hidup kesannya kepada semua bukan hanya kepada B40 sahaja, namun golongan itulah (B40) paling terkesan. Kita mengambil kira semua golongan termasuk M40 dan peniaga kecil.
“Maklum balas daripada orang ramai kita dengar supaya kos sara hidup dijadikan elemen penting dalam pembentangan Belanjawan 2023 yang akan dibentengkan pada 24 Februari ini,” katanya
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas dialog wakaf sebagai instrumen atasi kos sara hidup di sini pada Khamis.
Pada 1 Februari lalu, kerajaan dilaporkan akan memberi tumpuan utama kepada usaha menangani isu kos sara hidup dan pekerjaan rakyat dalam Belanjawan 2023.
Ditanya sama ada subsidi akan menjadi antara pendekatan mengatasi isu kos sara hidup dalam Belanjawan 2023, Fuziah berkata, banyak pendekatan dicadangkan KPDN bagi menangani isu itu dalam belanjawan berkenaan.
“Bagaimanapun, seharusnya kita perlu cari jalan untuk guna pendekatan lain daripada bergantung kepada subsidi,” katanya.