Home bajet2022 Belanjawan 2023: Isu selenggara jalan persekutuan antara tumpuan

Belanjawan 2023: Isu selenggara jalan persekutuan antara tumpuan

0
Belanjawan 2023: Isu selenggara jalan persekutuan antara tumpuan

Ahmad (kanan) bersama Saarani Dialog Belanjawan 2023 peringkat negeri Perak di Ipoh pada Khamis. Foto: ihsan korporat SUK

IPOH – Masalah penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan antara isu yang akan diberi tumpuan dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, isu kurangnya tumpuan membaik pulih keadaan jalan tersebut berlaku di banyak negeri.

“Jalan negeri dan jalan kampung peruntukan agak mencukupi, misalnya Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris) serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk jalan-jalan kampung.

“Masalahnya bagaimana jalan persekutuan kurang diselenggarakan?. Kita berharap Kementerian Kerja Raya menumpukan perkara ini, ada masa lagi untuk berikan peruntukan dimohon contohnya Jalan Gerik- Jeli, Jalan Simpang Pulai – Blue Valley dan Jalan Tapah – Ringlet.

“Perkara ini berlaku di banyak negeri. Ini antara saya kira agak besar tumpuan yang patut kita berikan,” katanya kepada pemberita pada majlis Dialog Belanjawan 2023 peringkat negeri di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ahmad berkata, bantuan kepada Orang Asli antara perkara yang dibangkitkan meliputi bantuan perumahan dalam sesi dialog berkenaan.

“Program bina rumah ini kita maklumkan sebanyak RM1.5 billion telah diperuntukkan tahun lalu yang mana 11,000 unit Program Perumahan Rakyat 11,000 unit melibatkan RM398 juta, 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat (RM315 juta) manakala program bantuan bina rumah baru termasuk senarai untuk Orang Asli, senarai e-kasih 14,000 unit.

“Saya yakin ia masih berbaki RM361 juta, saya kira boleh diasingkan atas penyediaan untuk Orang Asli.

“Kita berharap ada lagi perkara yang boleh diberikan untuk manfaat Orang Asli,” katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan Kerajaan Perak telah mengemukakan senarai permohonan projek-projek pembangunan bernilai RM3 bilion untuk dimasukkan dalam Bajet Persekutuan 2023 nanti.

Kesemua peruntukan yang dimohon itu membabitkan projek-projek berkepentingan rakyat antaranya pembinaan semula Jalan Raya Timur Barat, tambahan katil di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan beberapa projek lain.