Home bajet2022 Bajet 2023: KKR terima peruntukan RM8.136 bilion

Bajet 2023: KKR terima peruntukan RM8.136 bilion

0
Bajet 2023: KKR terima peruntukan RM8.136 bilion
Bajet 2023 menyaksikan kerajaan bersetuju meneruskan projek mega berimpak tinggi termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). – Foto Bernama

SHAH ALAM – Kementerian Kerja Raya (KKR) menerima peruntukan sebanyak RM8.136 bilion pada tahun hadapan dengan kenaikan 11 peratus berbanding RM7.306 bilion yang diterima pada tahun 2022.

KKR dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, jumlah bajet yang diluluskan bagi menguruskan kementerian itu adalah sebanyak RM865.27 juta berbanding RM823.5 juta yang diterima untuk tahun ini.

“Manakala bajet pembangunan yang diluluskan adalah sebanyak RM7.270 bilion berbanding RM6.483 bilion pada tahun 2022,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Bajet 2023 menyaksikan kerajaan bersetuju meneruskan projek mega berimpak tinggi dengan kos RM16.5 bilion bagi projek Lebuhraya Pan Borneo, Jalan Lingkaran Tengah Utama (CSR), Landasan Keretapi Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Selain itu, maklum KKR, sebanyak RM510 juta diperuntukkan bagi menambah baik kemudahan jaringan lebuh raya ke Pengerang.

“Ia membabitkan pembinaan lorong memotong di Senai Desaru Expressway dan menaik taraf Lebuhraya Utara Selatan di Senai Utara-Pandan,” kata KKR.

Kenyataan sama menjelaskan, KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) juga dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek pembangunan infra kementerian pelanggan.

“Antaranya melibatkan pembinaan 85 jambatan baharu bagi menggantikan jambatan yang uzur dan tidak selamat dengan peruntukan berjumlah RM54 juta.

“Sebanyak RM1.1 bilion pula diperuntukkan untuk menyelenggara dan membaik pulih sekolah merangkumi sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah agama,” katanya.

Menurutnya, antara inisiatif yang akan dilaksanakan menerusi Bajet 2023 termasuklah dana mudah cara infrastruktur untuk menyokong pelaksanaan Kerjasama Awam Swasta (PPP) sebanyak RM250 juta.

“Selain itu, peruntukan RM500 juta bagi projek membabitkan kontraktor dalam kategori G1 hingga G4 untuk projek pembaikan dan penyelenggaraan melibatkan pembaikan infrastruktur awam rosak akibat banjir, jalan Persekutuan, rumah ibadat, titi dan jambatan kecil,” tambah kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here