Home bajet2022 'Bajet 2023 bukan semata-mata ambil hati dengan bantuan tunai'

'Bajet 2023 bukan semata-mata ambil hati dengan bantuan tunai'

'Bajet 2023 bukan semata-mata ambil hati dengan bantuan tunai'
Shahril Sufian

SHAH ALAM – Bajet 2023 yang diumumkan bukan semata-mata mengambil hati dengan bantuan tunai, kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Beliau bagaimanapun mengakui bantuan tunai pada kali ini paling tinggi dalam sejarah mana-mana bajet.

“Benar, pinjaman Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk B40 ditetapkan hanya 1.5 peratus sekali gus hampir menjamin keuntungan tahunan. Benar, kali ini M40 pun ada bantuan yang tersasar terhadap mereka.

“Benar, golongan belia dan e-hailing juga mendapat manfaat khusus dari bantuan tunai, perlindungan insurans sehingga pinjaman mudah untuk pembelian kenderaan mahupun food truck,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Tegas Shahril Sufian, bajet kali ini tidak langsung melupakan agenda jangka panjang yang bukan bersifat populis semata-mata.

“Misalnya perbelanjaan pembangunan RM95 bilion iaitu terbesar dalam sejarah. Misalnya langkah-langkah dan perbelanjaan yang diumumkan dalam menarik pelaburan dalam industri-industri yang dikenal pasti di samping mencapai sasaran ‘top 10’ negara berdaya saing di dunia.

“Ataupun segala langkah ke arah sasaran karbon neutral, termasuklah pengecualian fi permit import (AP) untuk kenderaan elektrik dan perluasan kemudahan pengecasan supaya kenderaan berharga sederhana juga dapat membanjiri pasaran.

“Ini hanya beberapa contoh ringkas menggambarkan bahawa kalau pihak lain hendak menyifatkan ini sebagai bajet pilihan raya, mungkin sebab mereka khuatir rakyat mampu menilai beza langkah dan tema bajet ini berbanding beberapa tahun sebelumnya,” ujarnya.

Jelas Shahril Sufian, bajet ini tidak semata-mata kerana bantuan tunai dengan meletakkan wang ke dalam saku rakyat kebanyakan.

“Bukan semata-mata subsidi dan bantuan tunai dalam lingkungan RM55 bilion berbanding tak sampai RM25 bilion tahun 2019 dan 2020.

“Tetapi jauh lebih dari itu, kerana ia bajet yang menggambarkan kompetensi dalam mengurus situasi dan kemampuan membina negara bukan hanya untuk hari ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here