Home bajet2022 Bajet 2023: Galak lebih banyak eksport, FDI tingkat tarikan ringgit

Bajet 2023: Galak lebih banyak eksport, FDI tingkat tarikan ringgit

0
Bajet 2023: Galak lebih banyak eksport, FDI tingkat tarikan ringgit
Gambar hiasan – Foto 123RF

KUALA LUMPUR – Bajet 2023, yang dijangka dibentangkan hari ini, amat ditunggu-tunggu oleh segenap rakyat Malaysia kerana ia akan melakarkan hala tuju negara pada tahun depan.

Kenaikan kos sara hidup, kejatuhan nilai ringgit, sekuriti makanan, jaminan pekerjaan dan pelaburan langsung asing (FDI) adalah antara topik utama yang dijangka ditangani dalam bajet itu memandangkan negara kini sedang keluar dari era pandemik.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, untuk meningkatkan keyakinan terhadap ringgit, kerajaan perlu menggalakkan lebih banyak pelaburan langsung asing ke negara ini dan mengurangkan pergantungan kepada produk import, terutamanya sektor agromakanan.

“Kerajaan perlu menggalakkan lebih banyak eksport bukan sahaja produk tetapi perkhidmatan iaitu dengan mengambil kesempatan daripada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) untuk menjadikan mata wang ringgit menarik,” kata beliau.

Beliau menambah, ringgit boleh diperkukuhkan lagi jika Bajet 2023 boleh memperkenalkan inisiatif untuk mengurangkan pergantungan negara kepada produk import, meningkatkan keluaran domestik dan menggalakkan eksport terutamanya dengan mengambil kesempatan daripada ratifikasi perjanjian perdagangan bebas CPTPP dan RCEP baru-baru ini.

“Saya mengharapkan bajet yang responsif kepada keperluan semasa rakyat, perniagaan dan industri, sambil mengekalkan tumpuan ke arah kemampanan dan negara yang berdaya tahan,” katanya.

Beliau menekankan bahawa Bajet 2023 perlu lebih meluas, tetapi pada masa yang sama, mampu menjana sumber pendapatan baharu bagi memastikan negara tidak akan terjerumus dengan hutang yang besar.

Ahmed Razman juga berpendapat, prestasi ringgit masih akan terjejas teruk disebabkan keadaan ekonomi di Amerika Syarikat (AS), terutamanya dengan permintaan kukuh terhadap dolar AS, jika dibandingkan dengan bajet yang dibentangkan hari ini.

Beliau berkata, bajet itu perlu memastikan fokus semasa untuk mengekalkan kadar inflasi yang rendah.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran satu lagi rangsangan fiskal yang tidak terkawal mungkin memberi tekanan kepada kadar inflasi untuk terus meningkat.

Ahmed Razman juga tidak menolak kemungkinan bahawa prestasi ringgit juga boleh terkesan disebabkan keadaan politik apabila terdapatnya khabar angin mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 yang akan dipercepatkan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here