Home bajet2022 Bajet 2023: Cuepacs mahu bonus sebulan gaji

Bajet 2023: Cuepacs mahu bonus sebulan gaji

0
Bajet 2023: Cuepacs mahu bonus sebulan gaji
Adnan (dua dari kiri) ketika merasmikan persidangan Perwakilan Tri-Tahunan Cuepacs Negeri Sembilan Sesi 2022-2025 pada Selasa.

SEREMBAN – Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mengumumkan bonus sekurang-kurangnya sebulan gaji kepada penjawat awam pada pembentangan Bajet 2023 bulan depan.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, dalam tempoh 11 tahun ini penjawat awam hanya diberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK).

“Kami merayu kepada kerajaan untuk tahun ini, perkenalkan lah bonus kepada kami, kami telah 11 tahun tiada bonus, hanya bantuan khas kewangan, bagi kami, kami telah melaksanakan perkhidmatan sebaik mungkin, penyampaian perkhidmatan kerajaan sebaik mungkin.

“Walaupun telah diumum BKK sebanyak RM700 pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam yang lalu, dalam bajet ini, kami mahu juga sekurang-kurangnya kerajaan umum dalam bentuk bonus kepada penjawat awam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan Cuepacs Negeri Sembilan Sesi 2022-2025 di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Adnan berkata, sama ada ditolak BKK tidak ada masalah, tetapi yang penting berilah dalam bentuk perkataan bonus.

“Walaupun berlaku beberapa pertukaran kerajaan dan menjadi barisan hadapan ketika Covid-19. Malah ketika berlakunya bencana, penjawat awam terus kekal memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Tidak ada jabatan yang ditutup, tidak ada pekerja yang meninggalkan tugas, sebaliknya kami kekal memberikan perkhidmatan kepada rakyat,” ujar beliau.

Jelasnya lagi, mereka sudah lama menunggu perkataan ini (bonus) tidak kunjung tiba, mereka faham.

“… tetapi pada masa yang sama kami perlu ihsan daripada kerajaan supaya kami mampu meningkatkan motivasi dalam pekerjaan kerana kami tahu majikan kami ini majikan yang rapat dengan penjawat awam.

“Minimum sebulan, barulah namanya bonus, kalau RM700, RM500 itu bantuan khas, dah tahun ke 11 bantuan khas, takkan sekali tidak boleh sebut bonus, bagilah sebulan bonus,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Adnan mencadangkan supaya gred minimum kemasukan ke perkhidmatan awam bermula pada Gred 19 dan bukan lagi Gred 11 ketika ini mengambil kira keputusan Kementerian Pendidikan yang memansuhkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

“Selepas ini kelayakan kemasukan dalam perkhidmatan awam hendaklah ditingkatkan kepada Gred 19 untuk beri sedikit kelegaan dalam bentuk bayaran gaji kepada penjawat awam dan kami sambut baik saranan adakan penglibatan antara Jabatan Perkhidmatan Awam dan Cuepacs,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here