Home bajet2022 Bajet 2022 tidak beri banyak impak untuk industri pembinaan

Bajet 2022 tidak beri banyak impak untuk industri pembinaan

0
Bajet 2022 tidak beri banyak impak untuk industri pembinaan

KUALA LUMPUR – Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) menyambut baik langkah kerajaan mengumumkan beberapa projek pembinaan dalam Bajet 2022, namun menyifatkannya sebagai tidak memadai dari segi impak secara meluas untuk industri terbabit.

Dalam kenyataannya, Setiausaha Agung MBAM, Datuk Seri Eric Kuan Khian Leng berkata, kebanyakan projek yang diumumkan itu melibatkan projek berskala kecil bagi meningkatkan prasarana awam dan hanya menguntungkan segelintir penggiat industri, terutama kontraktor dalam kategori G1 hingga G4.

“Secara amnya, kami mengharapkan Bajet 2022 mengumumkan lebih banyak manfaat untuk industri pembinaan. Namun, apa yang mengecewakan ialah tiada sebarang pengumuman mengenai projek mega baharu yang dapat menghidupkan semula sektor pembinaan.

“Sehubungan itu, kami merayu agar kerajaan dapat menyalurkan lebih banyak bantuan untuk industri ini dalam usaha menghidupkan semula serta meneruskan kelangsungan sektor tersebut,” katanya ketika mengulas pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat.

Bagaimanapun, Eric berkata, MBAM menyokong cadangan kerajaan untuk mempertingkat kemahiran bakat tempatan menerusi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memandangkan industri pembinaan tempatan masih banyak bergantung ke atas tenaga kerja asing yang tidak mahir.

“Kami berharap inisiatif ini dapat membantu menyediakan lebih banyak tenaga kerja tempatan bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja asing. Namun, ini dijangka memakan masa lama kerana industri ini masih memerlukan pekerja asing untuk membantu usaha pemulihan.

“Oleh itu, adalah diharapkan proses untuk membawa masuk pekerja asing ini dapat dipercepatkan,” katanya.

Antara projek yang diumumkan dalam Bajet 2022 itu adalah pembinaan lapan blok baharu untuk pendidikan khas, RM1.5 bilion bagi meneruskan projek perumahan kumpulan berpendapatan rendah, RM1.5 bilion bagi pembinaan jalan luar bandar sepanjang 519 kilometer dan RM107 juta untuk pemasangan lampu jalan dan kerja-kerja penyelenggaraan di kampung-kampung, menaik taraf jambatan serta kerja-kerja awal bagi pembinaan jambatan baharu.

Selain itu, kerajaan akan turut meneruskan pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur negara bernilai RM3.5 bilion seperti pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dan Central Spine Road serta RM2.9 bilion bagi meneruskan projek bersaiz kecil dan sederhana untuk kontraktor G1 hingga G4. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here