GEORGETOWN – Bajet 2022 akan memastikan trajektori pemulihan yang berterusan dan pengembangan ekonomi, menurut Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA,) Datuk Seri Jebasingam Issace John.
Jebasingam berkata, NCIA menyambut baik sokongan kerajaan terhadap golongan rentan, terutamanya kumpulan B40, wanita dan masyarakat Orang Asli dengan menangani isu utama seperti kemiskinan, pendidikan dan kos sara hidup.
“Penciptaan kerja dan penambahbaikan tenaga kerja akan menjadi kunci utama untuk menyokong pemulihan dan pertumbuhan. NCIA menyambut baik Bajet 2022 kerana memberikan galakan sedemikian,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Beliau menambah, Program Modal Insan NCIA yang berteraskan rakyat akan diteruskan di bawah Bajet 2022.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 pada Jumaat mengumumkan kerajaan akan menyediakan 600,000 peluang pekerjaan pada tahun hadapan di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) yang melibatkan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion.
Jebasingam berkata NCIA mengalu-alukan komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan wilayah yang seimbang dan akan menyokong agenda itu dengan melaksanakan projek berimpak tinggi dan mempercepat pelaburan swasta di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
“NCIA juga menyambut baik sokongan berterusan terhadap pembangunan sektor berteknologi tinggi seperti elektrik dan elektronik, peranti perubatan dan aeroangkasa, serta penekanan terhadap pembangunan bakat berkemahiran tinggi. Ini akan menyokong usaha NCER untuk menjadi hab teknologi berkelas dunia,” katanya.
Beliau berkata, NCIA akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan untuk mencari sinergi bagi projek dan program di NCER bagi mengoptimumkan pendanaan kerajaan.
Pada Jumaat, Tengku Zafrul turut mengumumkan dana khas pelaburan strategik sehingga RM2 bilion bagi menarik pelaburan asing strategik dalam kalangan syarikat multinasional melalui Bajet 2022 dan peruntukan RM690 juta bagi projek pembangunan lima koridor wilayah pembangunan ekonomi. – Bernama