Home bajet2022 Bajet 2022: Kerajaan tunai janji bantu enam negeri kurang maju

Bajet 2022: Kerajaan tunai janji bantu enam negeri kurang maju

0
Bajet 2022: Kerajaan tunai janji bantu enam negeri kurang maju

TUMPAT – Kerajaan mengotakan janji apabila menyediakan peruntukan sebanyak 52.6 peratus daripada Bajet 2022 kepada enam buah negeri yang kurang maju bagi tujuan pembangunan asas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jumlah peruntukan kepada enam buah negeri iaitu ialah Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis itu melebihi sasaran yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa menyampaikan ucapan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) baru-baru ini.

“Alhamdulillah, Kelantan menjadi negeri yang tertinggi menerima peruntukan yang berjumlah RM2.33 bilion yang membabitkan beberapa projek pembinaan.

“Antaranya ialah pembinaan sebuah Stadium di Bukit Merbau, Pasir Puteh,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Semula Kampung Laut sebagai Kampung Pelancongan Warisan, di Laman Warisan Serunding, di sini pada Ahad.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Projek pembangunan Kampung Laut merupakan salah satu inisiatif kerajaan Persekutuan dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi membangunkan sektor pelancongan Kelantan dan mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada warga tempatan.

Menurutnya, pembinaan itu bagi memastikan Kelantan mempunyai fasiliti stadium yang sesuai dan boleh memuatkan antara 15,000 hingga 20,000 jumlah penonton.

Katanya, pembinaan projek itu membabitkan peruntukan berjumlah RM256 juta dan mempunyai enam komponen.

Ahli Parlimen Jeli itu berkata, peruntukan sebanyak RM5.5 juta diberikan dahulu sebagai permulaan kepada perlaksanaan projek pembinaan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here