PORT DICKSON – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan akan mengulas mengenai Bajet 2022 pada Isnin di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, ia termasuk berkenaan ‘off budget’ yang menjadi tanggungan kerajaan.
“Kerajaan perlu memperincikan segala yang berkaitan pembiayaan luar belanjawan di sebalik Bajet 2022 berjumlah RM332.1 bilion yang dibentangkan di Dewan Rakyat kelmarin.
“Belanjawan saya akan ulas esok terutama apa yang disebut sebagai ‘off budget’,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sumbangan Bakul Makanan Sempena Deepavali di Dewan Orang Ramai Kampung India, Bukit Pelandok, Chuah di sini pada Ahad.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Port Dickson itu melihat Bajet 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz adalah sesuatu yang baik.
“Ia merupakan belanjawan yang baik, terutama peruntukan kepada golongan yang memerlukan.
“Diberi kecil-kecil ini kita nampak baik dan saya sokong, tolong orang bawah, tetapi kalau kita tidak teliti yang ini (off budget) ia akan terus berlarutan, itu saya akan ulas esok, sebelum tengah hari,” katanya.