KOTA BHARU – Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa menyarankan agar kerajaan mempermudahkan kemudahan pinjaman sama ada melalui geran atau perbankan untuk rakyat kembali memulakan kehidupan selepas sektor ekonomi dibuka semula.
Pengerusinya, Datuk Dr Mustapha Ahmad Merican berkata, peluang lebih luas perlu diberi kepada golongan belia kerana mereka yang hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19 atau gulung tikar dalam perniagaan perlu memulakan semula perniagaan mereka.
“Ini antara salah satu perkara yang perlu kerajaan teliti dalam belanjawan akan datang. Bagaimana hendak memulihkan usahawan yang terkesan dan ada yang berhenti berniaga disebabkan pandemik Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Menurutnya, selain itu, antara salah satu sektor yang perlu diberikan keutamaan ialah pelancongan di dalam negara yang dilihat mampu membantu memulihkan kembali ekonomi negara.
Katanya, kerajaan perlu menyediakan pakej pelancongan yang bersesuaian terutamanya untuk menarik minat masyarakat bercuti di dalam negara melibatkan perhotelan, pengangkutan awam dan lain-lain sektor berkaitan.
“Pengawalan harga barangan di pasaran terutamanya industri makanan juga perlu diambil kira. Ini akan memberi kesan kepada sektor pelancongan jika ia tidak dibendung sebaik mungkin.
“Saya lihat bidang teknologi komputer dan telefon pintar juga tidak kurang pentingnya dan perlu dikawal dengan harga yang lebih rendah bagi mendorong lebih ramai rakyat dapat memiliki kemudahan ini,” katanya.