Home Uncategorized Tiga kluster di Klang masih terkawal

Tiga kluster di Klang masih terkawal

0
Tiga kluster di Klang masih terkawal

SHAH ALAM – Tiga kluster wabak koronavirus (Covid-19) yang dikenal pasti di Klang masih terkawal dan proses pengesanan kontak sedang giat dilaksanakan.

Exco Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita & Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kluster pertama dikenali sebagai Kluster Jalan Apas Sabah di mana melibatkan sembilan kes dijangkiti daripada individu-individu yang pulang dari Sabah selepas menghadiri majlis perkahwinan di Jalan Apas, Tawau.

Beliau berkata, kluster kedua pula melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Pandamaran berjumlah 15 kes.

“Kluster ketiga adalah Kluster Jalan Meru melibatkan kakitangan sebuah syarikat yang menghadiri mesyuarat beralamat di Jalan Meru.

“Sehingga kini 68 orang pekerja syarikat dan kontak mereka dikesan positif dan ia adalah jangkitan kumpulan yang terkawal serta tidak melibatkan penduduk atau premis lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Siti Mariah berkata, terdapat kluster baharu yang aktif berada di daerah Petaling dikenali sebagai Kluster Bah Puchong (Sabah-Puchong) dengan lima kes aktif melibatkan tiga individu dari satu keluarga yang pulang dari Sabah serta menetap di Puchong.

Katanya, tiga individu tersebut sedang menjalani kuarantin namun telah menerima kunjungan dua orang ahli keluarga mereka dari Perak.

“Ia merupakan jangkitan di antara ahli keluarga dan semua mereka kini sedang menjalani rawatan di hospital,” katanya.

Tambah Siti Mariah, secara keseluruhan, Selangor merekodkan lapan kluster buat masa ini iaitu Kluster Jalan Apas Sabah (9 kes); Kluster Pati Pandamaran (15 kes); Kluster Jalan Meru (68 kes); Klsuter Bah Puchong (lima kes); Kluster Seri Setia (4 Kes); Kluster Jelok (5 Kes); Kluster Seri Anggerik (17 kes); dan Kluster Embun (7 Kes).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here