KUALA KANGSAR – Polis menafikan pemeriksaan dan lawatan ke rumah yang dijalankan di dalam daerah Kuala Kangsar seperti tular ada kaitan kes positif koronavirus (Covid-19).
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dakwaan yang tersebar menerusi media sosial hingga menimbulkan keresahan itu adalah tidak benar.
Menurutnya, pemeriksaan dilakukan anggota bertujuan memastikan mereka yang terlibat mematuhi arahan kuarantin dan kekal berada di rumah sepanjang tempoh yang diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Buat masa ini, tiada kes positif Covid-19 direkodkan di daerah Kuala Kangsar jadi kita minta orang awam tidak panik berkaitan penularan berita palsu yang mengatakan terdapat kes positif di daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, orang ramai diingatkan untuk tidak menyebarkan berita palsu sama ada menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau media sosial yang lain kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Jika didapati bersalah mereka boleh didenda maksimum sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.