Home Koronavirus Risiko jangkitan tinggi jika Parlimen bersidang lebih lama

Risiko jangkitan tinggi jika Parlimen bersidang lebih lama

0
Risiko jangkitan tinggi jika Parlimen bersidang lebih lama

PUTRAJAYA – Persidangan Parlimen yang lebih lama akan menyebabkan mereka yang berada di dalam bangunan itu berdepan risiko jangkitan Covid-19 lebih tinggi, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, terdapat tujuh kes direkodkan hari ini yang membabitkan seorang anggota polis bantuan dan pengesanan kontak mendapati isteri dan tiga rakannya, seorang pengamal media serta seorang kakitangan Dewan Negara disahkan positif.

“Jika mereka berada di tempat sesak, lebih lama mereka di situ maka lebih tinggi peluang untuk mereka dijangkiti.

“Sekiranya terdapat kes positif, maka risiko kebolehjangkitan adalah lebih tinggi… kami berharap mereka yang menghadiri sesi Parlimen akan mematuhi SOP (prosedur operasi standard) kerana pematuhannya amat penting,” katanya pada sidang akhbar harian perkembangan Covid-19, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, persidangan Parlimen yang terakhir ialah pada 23 September dan terdapat jurang selama enam minggu sebelum saringan dilakukan pada minggu lepas, maka punca jangkitan tidak diketahui.

Terdahulu di Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan membentangkan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 12(1) bagi memendekkan sesi hari pertama persidangan Parlimen hari ini sehingga 1 tengah hari.

Beliau berkata, ini susulan nasihat pegawai Kementerian Kesihatan selepas seorang kakitangan Dewan Negara telah didapati positif Covid-19. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here