Home Uncategorized PKPB perlu untuk putuskan penularan Covid-19

PKPB perlu untuk putuskan penularan Covid-19

0
PKPB perlu untuk putuskan penularan Covid-19

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu dikuatkuasakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selepas kes baharu dilaporkan adalah konsisten di tiga tempat berkenaan pada setiap hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun kes baharu dicatatkan kurang daripada 100 setiap hari, ia berselerak dan mula menular di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta semua daerah di Selangor kecuali Sabak Bernam.

Kerajaan tidak boleh hanya melihat dan menunggu zon-zon kuning menjadi merah untuk melaksanakan PKPB atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), katanya pada sidang akhbar secara maya yang disiarkan di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, hari ini.

Dr Noor Hisham menjelaskan bahawa penilaian risiko sama ada teruk atau tidak bukan hanya bergantung kepada kes positif seharian tetapi juga perlu melihat kepada corak penularan jangkitan dalam sesebuah negeri.

“Jadi, sekiranya penularan jangkitan hanya tertumpu kepada satu atau dua daerah, pendekatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar mungkin boleh dilaksanakan.

“Bagaimanapun sekiranya penularan jangkitan menular setiap daerah dalam negeri dan terus mencatat kes baharu secara berselerak di Selangor dan Lembah Klang (Kuala Lumpur dan Putrajaya), ini bermakna penularan jangkitan ini tidak dapat lagi dibendung dengan berkesan,” katanya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, Sidang Khas MKN bersetuju melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 12.01 tengah malam 14 Oktober hingga 27 Oktober ini, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan Covid-19 seperti di Klang, daerah Petaling serta Gombak.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPB dilaksana di seluruh Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, pelaksanaan PKPB itu juga bagi memutuskan penularan jangkitan rentas negeri secara lebih berkesan selepas mengambil kira kesukaran kawalan sempadan bagi Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Ini adalah tindakan lebih proaktif dan berkesan terutama dalam memastikan keupayaan kesihatan awam kita dapat dirancang sebaiknya.

“Pelaksanaan perintah ini merupakan tindakan pencegahan amat penting untuk dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19 sebelum ia menular ke seluruh negeri dan negara,” katanya.

Mengulas mengenai amaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terhadap penggunaan sekatan pergerakan sebagai kaedah utama untuk mengawal virus kerana ia mungkin memberi kesan kepada kemiskinan, Dr Noor Hisham menjelaskan tindakan yang diambil kerajaan bukanlah sekatan pergerakan sepenuhnya.

“Kami longgarkan dari segi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, kami benarkan sektor ekonomi berfungsi tetapi kami menyekat pergerakan untuk sosial, pendidikan serta sukan.

“Saya rasa adalah penting bagi kita untuk membuat keputusan, keputusan yang tepat supaya kita dapat mengimbangi kehidupan dan mata pencarian, inilah yang kami lakukan sekarang dan kami berharap tindakan ini akan membuahkan hasil dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi dan kami akan terus memantau keadaan ini dengan teliti,” katanya.

Mengenai sama ada pekerja terutama yang berurusan secara terus dengan orang ramai perlu melakukan ujian swab susulan beberapa kes melibatkan pekerja di pusat beli-belah yang positif Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, prosedur operasi standard sebelum ini adalah terpakai, dan majikan digalakkan menghantar pekerja mereka untuk saringan dari masa ke masa.

“Petugas kesihatan, barisan hadapan misalnya dan agensi berkaitan sememangnya menjalankan saringan tempat kerja dari masa ke masa, selain daripada saringan petugas dikenali sebagai kontak rapat.

“Apa yang penting ialah Kementerian Kesihatan dan petugas kesihatan akan menjalankan penilaian risiko di kedai-kedai… kami akan laksanakan saringan nyah cemar dan nyah kuman, ” katanya. – Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: MB Selangor dakwa pengumuman PKPB mengejutkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here