SHAH ALAM – Pihak pengurusan Pusat Beli-belah One Utama meminta orang ramai yang mengunjungi bahagian kosmetik Parkson Elite dan Mac City Service Centre di kompleks itu tampil untuk melakukan ujian saringan susulan terdapat kes positif koronavirus (Covid-19).
One Utama berkata, orang ramai yang berada di dua bahagian itu pada 25 September hingga 7 Oktober lalu boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah Petaling.
Katanya, setakat ini semua pekerja Mac City Service Centre disahkan negatif, begitu juga dengan kontak rapat pekerja Parkson Elite.
“Kementerian Kesihatan mengesahkan sebilangan kecil kes di One Utama tidak berhubung atau tersebar oleh satu sumber dengan individu yang dijangkiti tidak menunjukkan gejala ketika bekerja di premis penyewa kami.
“Kami juga menyediakan kemudahan untuk semua kakitangan One Utama dan kakitangan penyewa kami untuk menjalani ujian saringan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media hari ini melaporkan berlaku empat kes positif melibatkan tiga pekerja dan seorang pengunjung di kompleks itu.
Kenyataan itu juga mengesahkan tentang penutupan sementara pusat beli-belah tersebut bermula esok untuk proses saringan kontak rapat dan proses nyah kuman atas nasihat KKM.
Menurutnya, kompleks itu hanya akan dibuka semula setelah semua pekerja One Utama dan penyewa menjalani ujian saringan dan keputusan ujian itu diperoleh.
ARTIKEL BERKAITAN: Pusat beli-belah One Utama, Kelab Golf Tropicana ditutup
Perunding kecantikan di Parkson One Utama positif Covid-19
Katanya, pengurusan One Utama kesal kerana penularan Covid-19 itu berlaku di luar kawalan walaupun usaha terbaik dilakukan untuk mencegah penularan Covid-19 di pusat beli-belah itu dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dan kerja-kerja sanitasi yang ketat.
“Terima kasih kami ucapkan kepada petugas barisan hadapan, penyewa, KKM dan semua pihak yang terus membantu dan menyokong kami sepanjang tempoh mencabar ini.
“Maklumat (mengenai perkembangan semasa) akan dikemas kini di laman sosial pusat beli-belah kami,” katanya.