Home Uncategorized One Utama lengang

One Utama lengang

0
One Utama lengang

PETALING JAYA – Keadaan di pusat beli-belah One Utama dilihat lengang pada hari pertama penutupan bangunan berkenaan susulan empat kes positif Covid-19 melibatkan kakitangan dan pengunjung pusat berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati pengawal keselamatan berkawal di semua pintu masuk bangunan tersebut bagi memastikan tiada pihak yang melanggar arahan penutupan itu dan kakitangan pusat beli-belah tersebut sahaja dibenarkan masuk melalui pintu belakang bagi menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini.

Seorang pekerja, Nur Suhaila Hanis Shahrom, 21, yang ditemui berkata, pekerja pusat beli-belah itu diminta hadir seawal jam 8 pagi untuk menjalani saringan seperti yang dimaklumkan menerusi notis yang diedarkan.

“Bagaimanapun, sehingga jam 10 pagi ini ujian saringan belum bermula dan kami masih menunggu. Hari ini hanya sebahagian pekerja disaring sementara pekerja di dua pasar raya akan disaring pada hari berasingan,” katanya.

Nur Suhaila Hanis yang baru dua bulan bekerja di pusat beli-belah itu bimbang sebaik mengetahui ada kes positif Covid-19.

Lebih membimbangkan katanya, dia mempunyai anak kecil manakala ibunya seorang pesakit kanser dan bapa menghidap darah tinggi.

“Lokasi kes pula sama aras dekat kedai tempat saya bekerja. Saya harap tidak dijangkiti dan kami sebagai pekerja memang mengamalkan SOP (prosedur operasi standard) ketat sejak Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Arif Rahman, 35, yang melalui kawasan berkenaan mengakui keadaan lengang hari ini.

“Kalau hari biasa memang jalan ini sibuk dengan kenderaan dan orang yang membeli-belah tetapi kini orang ramai lebih selamat duduk di rumah. Saya keluar berkayuh sekitar kawasan ini untuk beriadah dan kebetulan kenderaan tidak banyak,” katanya.

Dia yang bekerja sendiri dan tinggal di Damansara memaklumkan menyedari perubahan pengunjung yang berkurangan di pusat beli-belah itu sejak penularan Covid-19.

Semalam, Pengurusan Bencana Daerah Petaling, Johary Anuar memaklumkan pusat beli-belah tersebut ditutup selama seminggu bermula hari ini bagi tujuan saringan ke atas semua kontak rapat dan proses nyahkuman.

Menurutnya, langkah itu susulan terdapat empat kes positif melibatkan tiga pekerja dan seorang pengunjung di sana.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here