Home Uncategorized Menteri Besar, ADUN Selangor tiada akses maklumat PKPB

Menteri Besar, ADUN Selangor tiada akses maklumat PKPB

0
Menteri Besar, ADUN Selangor tiada akses maklumat PKPB

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor tidak dimaklumkan terlebih dahulu berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bakal dilaksanakan di seluruh negeri itu selain Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula esok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, pengisytiharan yang didakwa tidak dilakukan secara profesional dan jelas oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) menimbulkan banyak persoalan tentang garis panduan PKPB.

Menurutnya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan juga ADUN negeri tersebut tiada akses dan maklumat terperinci mengenai PKPB menyebabkan mereka menghadapi kesukaran menjelaskan perkara itu kepada umum.

“Sejak mulanya pengumuman sehinggalah lewat malam, penduduk tidak berhenti bertanyakan pada saya dan rakan ADUN yang lain tentang garis panduan PKPB di Selangor.

“Terdapat juga di antara mereka yang mempersoalkan keperluan PKPB di seluruh kawasan Selangor.

“Semua persoalan ini boleh dijawab sekiranya kami, ADUN yang diamanahkan untuk menjaga warga Selangor diberikan pencerahan tentang perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pengumuman PKPB tanpa sebarang perancangan terperinci akan menyusahkan semua pihak termasuk barisan hadapan terpaksa bekerja lebih masa di kawasan yang tidak perlu pengawasan.

“Saya menyokong 100 peratus sebarang usaha daripada mana-mana pihak untuk mengurangkan kes bagi menjamin keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia terutamanya untuk petugas barisan hadapan yang bekerja bertungkus-lumus demi menjaga kita.

“Namun begitu, ini tidak bermaksud kita boleh menyokong buta tuli mana-mana arahan tanpa sebarang logik dan akal,” katanya.

Beliau memberi contoh tindakan tidak wajar MKN dengan melaksanakan PKPB di kawasan Sabak yang tidak mempunyai apa-apa kes koronavirus (Covid-19).

“Setakat ini, kawasan yang membimbangkan hanyalah di antara Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling.

“Dengan pengumuman PKPB di kawasan-kawasan lain yang masih dikategorikan sebagai zon hijau, ianya juga bakal menimbulkan isu ekonomi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here