SHAH ALAM – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menawarkan konsultasi percuma kepada usahawan untuk berkongsi isu dan cabaran yang dihadapi mereka dalam berdepan pandemik koronavirus (Covid-19).
Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar berkata, agensi termasuk Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) akan menyediakan konsultasi percuma seperti eBiz Klinik yang merupakan kaunseling bisnes bersama BizKaunselor secara ‘one on one’.
Menurutnya, agensi lain seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), SMECorp dan Institut Kemahiran Mara (IKM) turut menawarkan latihan dan perkhidmatan ‘coaching’ untuk membantu usahawan mendapatkan bimbingan keusahawanan.
“Penularan pandemik Covid-19 menyebabkan banyak sektor terjejas khususnya segmen perniagaan yang melibatkan usahawan di negara ini.
“Saya tahu bukan mudah untuk meneruskan strategi perniagaan yang telah dirancang apatah lagi kelangsungan hidup, namun saya berharap usahawan kekal positif dan tidak berputus asa.
“Saya juga melihat bahawa seorang usahawan itu perlu mempunyai motivasi diri sebagai pendorong dalam membangkitkan semangat yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, kerajaan sentiasa komited untuk mendengar, membantu dan menyokong apa jua keperluan yang bersesuaian bagi memastikan usahawan dapat bertahan.
Untuk itu, beliau menyarankan usahawan untuk penuhi masa dengan meningkatkan ilmu dan pengetahuan dalam skil keusahawanan serta memperkuatkan fizikal dan mental.
“Dalam masa yang sama, saya juga menggesa para usahawan sentiasa mengikut SOP agar kelangsungan perniagaan dapat diteruskan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh dielakkan,” katanya.