Home Uncategorized Masyarakat perlu prihatin urus tekanan

Masyarakat perlu prihatin urus tekanan

0
Masyarakat perlu prihatin urus tekanan

SEJAK pandemik koronavirus (Covid-19) melanda Malaysia pada Mac lalu, pelbagai masalah telah membelenggu masyarakat, bukan sahaja dari sudut ekonomi, bahkan juga masalah sosial lain termasuklah depresi.

Pakar sosial, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, sebagai seorang individu atau anggota masyarakat yang normal, pelbagai tekanan yang menyebabkan kemurungan atau depresi akan dirasai kesan daripada pandemik Covid-19.

Namun, menurutnya, masyarakat perlu bersikap prihatin terhadap kebajikan diri agar ia tidak menguasai sehingga menyebabkan mereka merana dan sengsara disebabkan Covid-19.

“Kita perlu mengambil beberapa inisiatif agar tekanan atau perasaan ketidakselesaan yang kita hadapi sekian lama ini dapat diatasi dengan sebaik mungkin, sekali gus mampu menghindar diri daripada pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku.

“Kita sebagai masyarakat Malaysia yang mempunyai ciri-ciri ketimuran pastinya tidak mahu mengikut jejak langkah masyarakat di barat yang mengambil jalan singkat untuk menghapuskan atau menghilangkan tekanan dengan perbuatan membunuh diri dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas program baharu Wacana Al-Quran yang bakal menemui penonton pada 19 Oktober ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar yang merupakan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, masalah depresi atau kemurungan tidak boleh dianggap sesuatu yang remeh kerana bimbang ia akan menjadi lebih serius dan mampu memudaratkan individu itu sendiri.

Menurutnya, terdapat pelbagai pendekatan yang boleh dilakukan, antaranya dengan meluahkan segala bentuk ketidakselesaan atau tekanan yang dihadapi dengan cara berinteraksi dengan orang lain yang mempunyai sifat atau komitmen untuk mendengar segala bentuk luahan.

“Individu berkenaan mestilah bersedia untuk mendengar dan tidak memberi sebarang komen-komen yang negatif terhadap luahan yang diceritakan.

“Ia secara langsung atau tidak langsung boleh membantu mengurangkan tekanan dan bebanan yang dialami. Sekiranya mereka ingin memberikan cadangan atau nasihat, maka ia perlulah bersifat positif, selain memberikan kata-kata semangat dan sebagainya,” kata beliau.

Sementara itu, Mohammad Shatar berkata, selain pendekatan sosial, pendekatan secara spiritual ataupun rohani juga perlu dilaksanakan, contohnya mereka yang beragama Islam boleh menggunakan bacaan ayat-ayat al-Quran dan terjemahannya untuk memberi ketenangan jiwa.

“Malah, mereka yang berdepan dengan masalah itu juga disarankan supaya mendengar ceramah-ceramah agama yang bersifat motivasi agar menemui ketenangan dan menerimanya dengan penuh kesabaran.

“Jadi, kombinasi pendekatan spiritual dan sosial ini secara langsung mampu mengurangkan tekanan kerana setiap permasalahan yang berlaku pasti ada jalan penyelesaian yang terbaik,” kata beliau.

Masalah depresi atau kemurungan tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang remeh kerana bimbang ia akan menjadi lebih serius dan mampu memudaratkan individu itu sendiri.”

Sebagai seorang Mukmin, mereka tidak sunyi daripada ujian untuk ALLAH SWT melihat antara hamba-Nya, siapa yang paling sabar dan ALLAH SWT akan memberikan yang terbaik kepada mereka.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here