Home Uncategorized Malaysia perlu ubah sistem pendidikan

Malaysia perlu ubah sistem pendidikan

0
Malaysia perlu ubah sistem pendidikan

SHAH ALAM – Malaysia perlu membuka mata untuk mengubah sistem pendidikan negara bersesuaian dengan keadaan semasa penularan pandemik koronavirus (Covid-19) bagi menyelesaikan masalah stres dihadapi anak-anak, ibu bapa dan guru ekoran normal baharu pembelajaran dalam talian (e-pembelajaran) sekarang.

Pakar Motivasi Pelajar dan Ibu Bapa, Fauziah Sirat berkata, pendekatan negara luar memotong kurikulum atau silibus pembelajaran dalam mendepani krisis Covid-19 wajar dicontohi negara ini berbanding masih mengikut sistem lama yang menjadi amalan 100 tahun lalu.

Menurutnya, tindakan proaktif negara luar itu diketahui berdasarkan pengalaman beliau sendiri yang mengikuti persidangan pendidikan secara maya bersama ramai pendidik luar negara ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Katanya, dalam keadaan negara ketika ini kembali melaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) di beberapa lokasi, pendekatan tersebut perlu diperhalusi.

“Antara pendekatan yang negara luar lakukan adalah dengan mereka memotong kurikulum yang asalnya banyak kepada seringkas-ringkasnya sekadar untuk memberikan kemahiran asas kepada anak-anak yang boleh dilakukan secara persendirian di rumah.

“Saya lihat ini merupakan satu tindakan yang bijak sebab bila kita laksnakan e-pembelajaran atau saya lebih suka panggil ‘emergency remote learning’ kita sebenarnya dalam satu situasi belum lagi mahir dalam mempraktikkan kaedah ini,” katanya selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi ke-202 bertajuk ‘PKPB: Belajar dari rumah, siapa lebih stres?’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian malam tadi.

Wacana itu turut menampilkan panelis Ketua Pegawai Pembangunan Latihan&Teknikal Sekolah Sri Aria, Nurul Najmi Mohd Haniffah dan Pendakwah Selebriti, Izzhar Nazri serta personaliti televisyen, Ismail Adnan selaku moderator.

Mengulas lanjut, Fauziah percaya guru-guru di negara ini sekarang juga masih lagi belajar bagaimana nak menjadi guru yang baik dalam e-pembelajar dan tumpuan ketika ini sebenarnya lebih kepada untuk memindahkan kandungan pembelajaran tradisional dalam bilik darjah ke dalam alam maya.

“Jadi bila keadaan itu berlaku dan dengan kurikulum yang sangat berlambak-lambak, ia memang sangat membebankan. “Bagaimana seorang guru nak memindahkan segala-galanya ke dalam talian dan bagaimana anak-anak kena menerima semua perkara tersebut menerusi dalam talian?

“Itu merupakan satu benda yang memberikan satu tekanan kepada kedua-dua pihak iaitu guru dan murid, tak termasuk lagi mak ayah,” katanya.

Beliau menjelaskan, disebabkan kurikulum, kandungan atau silibus tidak diubah, kaedah pengajaran dan pembelajaran ketika ini masih terikat dengan pemberian pelbagai kerja sekolah dan tugasan kepada anak-anak sama masa seperti keadah pembelajaran dalam bilik darjah.

“Jadi persoalannya bila kita dengan banyak tugasan apa sebenarnya tujuan bagi kerja sekolah? Apa tujuan kena ikut silibus dan kita tak nak ubah langsung sebaliknya kena ikut juga walaupun dalam keadaan krisis macam mana sekalipun, kita kena buat macam itu juga.

“Adakah kita buat sebab wajib habiskan silibus? Silibus itu nanti akan disoal dalam peperiksaan? Adakah kita nak mengejar isu-isu peperiksaan dalam krisis macam ni? Adakah kita mahu anak kita belajar sahaja atau kita nak skor A dalam peperiksaan?” soalnya.

Fauziah berkata, sekiranya tujuan pendidikan itu untuk memastikan anak-anak dapat terus belajar dan rasa seronok untuk belajar tanpa tekanan itu, pendekatan baharu dengan mengubah silibus akan membahagiakan banyak pihak.

Katanya, perubahan itu akan mendorong guru mengubah suai kandungan pendidikan dalam talian kepada anak-anak dan anak-anak boleh menerimanya mengikut kebolehan masing-masing serta dapat mengikuti pembelajaran maya itu dengan penuh keseronokan di samping ibu bapa boleh membantu bila perlu.

“Ia juga bermaksud anak-anak ini diberi tugasan yang selaras dengan keupayaan mereka tanpa membebankan ibu bapa sebab kita faham ibu bapa ada komitmen lain,” katanya.

Bagaimanapun, Fauziah menegaskan, isu pendidikan merupakan perkara yang berkait rapat dengan semua pemegang taruh sama ada ibu bapa, guru pengajar, komuniti malah negara dan memerlukan persefahaman terutama antara guru dan ibu bapa untuk menyiapkan anak-anak dalam pendidikan.

Jelasnya, perkara utama perlu difahami adalah matlamat anak dihantar ke sekolah kerana sekiranya anak dihantar ke sekolah untuk mendapatkan pembelajaran, ia menentukan bentuk kerja sekolah yang diberikan kepada anak-anak.

“Kalau semua faham kita menghantar anak ke sekolah untuk mencungkil potensi dalam diri mereka, kita lebih mudah untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan pendidikan ini tak kisahlah dalam krisis apa pun sama ada ketika Covid-19, banjir atau dalam krisis bencana alam yang lain.

“Saya juga percaya bila Covid-19 ini berlaku, ia merupakan satu petanda untuk kita memerhatikan dan memperhalusi bagaimana kita menangani isu-isu berkaitan pendidikan anak-anak kita,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here