Home Uncategorized Kesemua petugas UMNO Kelantan ke Sabah negatif Covid-19

Kesemua petugas UMNO Kelantan ke Sabah negatif Covid-19

0
Kesemua petugas UMNO Kelantan ke Sabah negatif Covid-19

KOTA BHARU – Seramai 95 orang wakil UMNO Kelantan yang membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 baru-baru ini, disahkan negatif wabak koronavirus (Covid-19) setelah menjalani ujian saringan sebanyak tiga kali.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, saringan kali ketiga telah dilakukan hari ini oleh pegawai perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Menurutnya, walaupun ujian saringan kali pertama dan kedua didapati negatif tetapi beliau tetap mengarahkan supaya kesemua jentera wajib kuarantin selama 14 hari sebelum pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

“UMNO Kelantan mengambil pendekatan menjalani tempoh kuarantin kendiri demi keselamatan petugas, ahli keluarga, kenalan dan masyarakat khususnya di Kelantan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

“Kami bertugas di daerah Sandakan yang ditakrifkan sebagai kawasan hijau, namun keberadaan kami di Sabah selama hampir setengah bulan juga amat lama. Memilih untuk kuarantin secara kendiri adalah wajar pada pandangan saya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata lagi, sepanjang tempoh kuarantin, pelbagai perasaan yang dialami, rindu pada keluarga, sedih, hiba dan gembira.

“Namun, dengan ikatan ukhuwah yang ada pada kami, terjalin satu hubungan kekeluargaan baharu yang mengeratkan kesemua petugas sepanjang tempoh kuarantin itu.

“Pelbagai aktiviti dilakukan secara bersama, solat berjemaah, beriadah, aktiviti keagamaan dan aktiviti team building bagi mengisi ruang waktu yang ada.

“Ada juga dalam kalangan kami yang menghubungi ahli keluarga melalui panggilan video bagi mengubat kerinduan,” katanya.

Katanya, kesemua petugas pada hari ini telah pulang ke pangkuan keluarga dengan penuh keyakinan bahawa mereka bebas pandemik Covid-19 serta UMNO Kelantan amat berbesar hati untuk berkongsi bahawa tiada seorang dalam kalangan mereka yang positif Covid-19.

“Untuk kesemua petugas UMNO Kelantan, saya mengucapkan jutaan terima kasih di atas pengorbanan masa dan tenaga kepada parti dan kepada ahli keluarga petugas, sekalung penghargaan terima kasih kerana meminjamkan mereka kepada parti demi sebuah perjuangan,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya terus menjaga keselamatan diri dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan sentiasa menjaga kebersihan mencegah penularan pandemik tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here