KUALA LUMPUR – Para petugas barisan hadapan (frontliners) khususnya petugas kesihatan sekali lagi berhadapan cabaran besar apabila negara kini dilanda gelombang ketiga pandemik koronavirus (Covid-19) dengan jumlah kes positif baharu kembali mencatat tiga angka sejak 23 September lepas.
Dalam tempoh lebih kurang tiga minggu sehingga kini, jumlah kes harian baharu tinggi dicatatkan saban hari dengan Sabah menjadi ‘medan peperangan’ paling kritikal.
Semalam (18 Oktober), jumlah kes baharu harian Covid-19 di Malaysia mencatatkan rekod tertinggi sejak pandemik itu melanda negara dengan 871 kes, menjadikan angka keseluruhan sebanyak 20,498 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus itu pada 7,049 kes.
Sabah pula terus mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 702 kes (80.6 peratus.
Tiada istilah serik
Dr Noor Hisham sebelum ini pada 12 Oktober menyifatkan perjuangan petugas barisan hadapan dalam menentang pandemik Covid-19 di Sabah mencapai tahap kritikal dan beberapa strategi serta pendekatan akan diambil untuk memutuskan rantaian penularan wabak berkenaan di negeri itu.
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dilaksanakan di seluruh Sabah berkuat kuasa 13 Oktober hingga 26 Oktober, manakala di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (14 Oktober- 27 Oktober) serta di Wilayah Persekutuan Labuan (17 Oktober-30 Oktober) bagi tujuan mengekang penularan pandemik.
Meskipun menyarung peralatan pelindung diri (PPE) yang berlapis-lapis dan melakukan ujian saringan (swab test) di bawah khemah yang panas membahang mungkin bukan lagi menjadi isu utama, namun sebagai manusia biasa, perasan bimbang, takut, sedih dan kecewa pastinya tetap bersarang dalam diri setiap petugas kesihatan dan sukarelawan yang terlibat.
Ramai dalam kalangan mereka telah ditugaskan ke Sabah serta beberapa kawasan zon merah di Semenanjung.
Berkongsi pengalaman, Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tawau, Sabah, Dr Saraswathy Subramaniam berkata, beliau tidak sabar untuk kembali bertugas setelah tamat menjalani tempoh kuarantin selepas didapati positif Covid-19 pada 29 September lepas.
Dr Saraswathy, 29, dijangkiti pandemik itu sewaktu ditugaskan di Hospital Semporna pada awal September lepas berikutan peningkatan jumlah kes di daerah berkenaan.
“Tubuh badan menjadi sangat lemah, hampir pitam malah saya turut mengalami keradangan jantung akibat jangkitan Covid-19. Sungguh pun begitu, tiada istilah serik untuk diri ini.
“Saya tidak sedih ketika disahkan positif Covid-19 malah sudah bersedia untuk menerima sebarang risiko saat diarahkan bertugas di Hospital Semporna. Walaupun ketika itu saya turut mengalami gangguan deria bau, saya sangat bersyukur kerana ada keadaan pesakit lain yang lebih teruk daripada itu,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Kini dengan situasi semasa yang diibarat ‘kembali ke medan perang’ Dr Saraswathy berkata, petugas kesihatan terpaksa bertungkus-lumus bekerja tanpa mengira siang dan malam malahan tidur juga tidak mencukupi memandangkan jumlah pesakit yang bertambah dan tidak setara dengan kemudahan yang ada.
Lebih membuatkan golongan itu semakin lelah ialah apabila ada pesakit yang ‘menghilangkan diri’ ketika menunggu keputusan ujian saringan sekali gus menambah risiko sehingga ada petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19.
“Sabah kini dalam keadaan tenat dan apa yang berlaku mengajar saya betapa berharganya kehidupan. Sebagai doktor, saya akui berdepan cabaran untuk merawat pesakit yang terlibat kerana saat mereka tiba di hospital, keadaan mereka sudah teruk di peringkat empat dan lima dengan pelbagai komplikasi.
“Apa yang boleh kami lakukan ialah mematuhi prosedur operasi standard (SOP), mengurangkan sebanyak mungkin kontak, memberi rawatan segera apabila pesakit mempunyai simptom dan memastikan kebersihan di tahap maksimum,” katanya yang berasal dari Kuala Selangor dan akan kembali bertugas di Hospital Semporna pada minggu ini.
Bagai ‘dejavu’
Bagi Pakar Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Mohd Afiq Mohd Nor, kejadian yang berlaku ketika berada di beberapa zon merah di Semenanjung serta Sabah seolah-olah ‘dejavu’ buat dirinya serta petugas kesihatan yang lain.
Menurut beliau yang berpengalaman selama 10 tahun di Jabatan Kecemasan, persediaan yang sedang dilakukan di PPUM kini umpama mengulangi apa yang berlaku pada Mac lepas.
“Kita perlu susun semula petugas, pasang semula khemah saringan, ingatkan semula cara pemakaian PPE serta SOP. Fasa pemulihan selepas tiga bulan ‘berperang’ dengan Covid-19 dulu pun belum habis, kini kita perlu sambung semula demi kepentingan rakyat,” katanya.
Meskipun berpengalaman mengendalikan situasi itu namun perkara yang paling ingin dielakkan ialah tidak mahu ada rakan sepasukan yang ‘kecundang’ akibat dijangkiti Covid-19.
Katanya, melihat sendiri ada petugas yang disahkan positif dengan kesakitan yang dialami seperti sesak nafas dan mengharungi tempoh kuarantin membuatkan rasa bimbang berlipat ganda walaupun setiap langkah keselamatan telah diambil.
“Sebab itu kita selalu ingatkan setiap petugas supaya jangan lalai ketika mengendalikan pesakit atau peralatan. Sebab kita tak tahu bila-bila masa sahaja akan ada pesakit yang terdedah dan terlepas masuk ke bilik rawatan,” katanya.
Turut senada dalam perkara itu, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Samhan Awang tidak menafikan tahap tekanan yang dialami para petugas perubatan tidak boleh dipandang remeh.
“Stres (tekanan) fizikal kerana beban kerja yang bertambah dan jika ada rakan setugas yang di kuarantin, beban kerja semakin berat. Tekanan mental turut bertambah apabila ada pesakit yang menyembunyikan sejarah ada kontak rapat.
“Tiada pilihan kecuali terus bertahan di samping sering memberi kata-kata semangat kepada rakan setugas untuk terus kuat kerana rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi kepada ‘frontliners’ untuk meratakan lengkungan jangkitan pandemik,” katanya.
Bapa kepada dua orang cahaya mata itu turut menyifatkan itulah pengorbanan yang perlu dihadapi petugas barisan hadapan malah beliau sendiri pada bila-bila masa bersedia untuk dihantar ke kawasan zon merah termasuk di Sabah, memandangkan banyak tenaga dan pengalaman menguruskan situasi kritikal diperlukan di negeri itu ketika ini.
Kental hadapi zon merah
Bagi Pengerusi Kelab Belia Tinagayan (KeBaT) Fazlan Thomas, biarpun ramai yang menganggap tindakannya bersama 16 sukarelawan lain sebagai ‘kerja gila’ apabila sanggup bergadai nyawa berkhidmat di kawasan zon merah bilik gerakan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bubul Ria, Semporna, namun baginya ia adalah secebis pertolongan yang boleh disalurkan di saat Sabah dilanda musibah.
Jelas lelaki berusia 32 tahun itu, idea untuk berkhidmat di bilik gerakan berkenaan timbul apabila terdapat rakan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri meminta bantuan sukarelawan memandangkan kakitangan Hospital Semporna semakin hari semakin berkurangan susulan beberapa petugas yang didapati positif Covid-19 dan terpaksa dikuarantin.
“KeBaT cuba membantu memandangkan kami juga tidak dapat bergerak untuk agihan makanan dan susu seperti sebelum ini berikutan PKPB.
“Saya menghebahkan di media sosial sedang mencari sukarelawan dan tidak menyangka ramai yang berminat termasuklah dari daerah lain bahkan dari Sarawak dan juga Semenanjung,” katanya yang menjelaskan khidmat pasukan itu bermula 11 Oktober lepas selepas menjalani ujian saringan.
Walaupun berdepan pelbagai risiko termasuk dijangkiti Covid-19, kesemua sukarelawan yang bertugas setakat ini mampu menarik nafas lega memandangkan mereka sepenuhnya di bawah seliaan KKM di mana aspek penjagaan SOP amat dititikberatkan.
Jelas beliau yang turut bertindak sebagai urusetia bagi pengurusan sukarelawan di bilik gerakan berkenaan, antara tugas tetap sukarelawan yang berumur antara 17 dan 40 tahun itu adalah menyahkuman kawasan sekitar, memberi makanan kepada pesakit serta menguruskan keperluan logistik dan dokumentasi bilik gerakan.
“Kami sudah menguatkan hati dan semangat untuk menyertai misi ini walaupun ada antara kami yang terpaksa tinggal sementara di flat PPR Bubul Ria kerana risau akan keselamatan ahli keluarga apabila perlu berulang-alik ke rumah,” katanya sambil menambah turut ‘mengambil’ semangat para petugas kesihatan yang bertungkus lumus berjuang demi rakyat dan negara.
Semoga para petugas barisan hadapan terus kuat dan cekal dalam menghadapi ‘peperangan’ ini di samping rakyat juga sama-sama memainkan peranan #kitajagakita.
Memetik ciapan Dr Noor Hisham melalui akaun Twitter beliau pada 8 Oktober lepas: “Kepada semua petugas barisan hadapan, ingatlah bahawa kita adalah pelindung kesihatan rakyat dan keselamatan negara, kita adalah barisan pertahanan terakhir. Kita mesti terus bersemangat dan kuat. Kesihatan menyatukan kita semua melawan satu musuh, Covid-19, bersama-sama. Insya-ALLAH”. – Bernama