Home Uncategorized Fasa pembelajaran baharu dalam hidup

Fasa pembelajaran baharu dalam hidup

0
Fasa pembelajaran baharu dalam hidup

SHAH ALAM – Pelaksanaan pembelajaran dalam talian sekarang perlu dianggap sebagai fasa pembelajaran baharu dalam hidup agar semua bersifat lebih terbuka untuk menerima perubahan dan tidak terikat dengan kaedah pendidikan secara fizikal semata-mata.

Pendakwah selebriti, Izzhar Nazri berkata, sekiranya mahu digunakan kaedah pembelajaran seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia dilihat akan menyusahkan ramai pihak.

“Maknanya dalam konteks pembelajaran sekarang, saya lihat perkara yang perlu diubah bukan sahaja dari segi silibus tetapi ibu bapa, anak-anak dan guru-guru juga perlu mengubah persepsi melihat keadaan ini sebagai satu fasa pembelajaran baharu.

“Contohnya, ia adalah fasa pembelajaran ibu dan ayah untuk kenal secara lebih mendalam karakter anak-anak,” katanya selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi ke-202 bertajuk ‘PKPB: Belajar dari rumah, siapa lebih stres?’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian malam tadi.

Wacana itu turut menampilkan panelis Pakar Motivasi Pelajar dan Ibu Bapa, Fauziah Sirat dan Ketua Pegawai Pembangunan Latihan&Teknikal Sekolah Sri Aria, Nurul Najmi Mohd Haniffah serta personaliti televisyen, Ismail Adnan selaku moderator.

Izzhar berkata, beliau bersetuju jika dikatakan ketiga-tiga pihak iaitu anak, ibu bapa dan guru stres dengan keadaan pembelajaran dalam talian di rumah.

Menurutnya, kesemuanya mengalami tekanan berbeza termasuk bagi ibu bapa yang hilang pekerjaan kerana bukan sahaja tidak mampu membeli data untuk pembelajaran dalam talian anak-anak, bahkan untuk makan pun mungkin tidak mampu.

“Kita juga tahu kadar liputan internet di Malaysia ini capaiannya 70 peratus di bandar dan 30 peratus di luar bandar. Maksudnya kita tak boleh pukul rata semua pelajar boleh melalui dan menjalani pembelajaran secara ‘online’ dengan baik sebab ia bergantung kepada capaian internet, kemampuan beli data serta dari segi pemilikan telefon pintar.

“Jadi ia menjadi tekanan kepada ibu ayah untuk cari duit. Tekanan juga untuk anak-anak kerana saya yakin orang dewasa yang bekerja dari rumah pun dah anggap itu cabaran besar, apatah lagi buat anak-anak,” katanya.

Justeru, Izzhar berpendapat, sewajarnya silibus pembelajaran dipermudahkan iaitu ada bahagian yang tidak perlu diajar oleh guru menerusi pembelajaran dalam talian agar sesi pengajaran dan pembelajaran itu menjadi lebih berkesan.

“Anak-anak juga perlu ambil peranan untuk kurangkan tekanan pada mak ayah atau guru-guru, bukan setakat mak ayah dan guru sahaja kena pandai kendalikan stres tetapi anak-anak pun sama. Mereka kena bantu juga.

“Dengan cara bagaimana? Mereka kena memudahkan urusan mak ayah dan guru-guru. Bangun awal uruskan kerja rumah seperti tolong basuh pinggan dan sapu sampah, ia memudahkan urusan mak ayah.

“Saya kira dengan bantuan sebegini, ibu dan ayah akan kurang tekanan sebab kadang-kala bila kita tertekan benda kecil pun akan jadi besar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here