Home Uncategorized BAM kenakan kawalan pergerakan terhadap pemain

BAM kenakan kawalan pergerakan terhadap pemain

0
BAM kenakan kawalan pergerakan terhadap pemain

SERAMAI 127 pemain kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur akan dikenakan arahan kawalan pergerakan bermula esok sehingga 25 Oktober ini sebagai langkah membendung penularan pandemik koronavirus (Covid-19) yang kembali membimbangkan.

Langkah itu merupakan inisiatif Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang menyaksikan pemain akan menjalani rutin latihan seperti biasa namun pergerakan terhad hanya di kawasan ABM dan Stadium Juara, Bukit Kiara.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, pemain tidak dibenarkan meninggalkan ABM kecuali atas urusan penting atau bagi tujuan isu teknikal berkaitan badminton.

“Kalau pemain kita ada temu janji dengan doktor di ISN (Institut Sukan Negara) mereka dibenarkan pergi dan ini adalah soal pemain bergerak antara lokasi A ke B dan bukannya mereka bebas pergi makan atau ke mana sahaja.

“Itu keputusan yang kita buat dalam usaha mengurangkan risiko (dijangkiti Covid-19),” katanya kepada Bernama, hari ini.

BAM turut memperketatkan laluan keluar masuk di ABM apabila mengasingkan laluan pemain dan pekerja sokongan ABM.

Sebanyak 354 kes baharu direkodkan dengan jumlah kumulatif meningkat kepada 14,722 kes sementara enam kematian dilaporkan hari ini.

Sementara itu, Choong Hann berkata, tempoh 15 hari kawalan pergerakan separa dikenakan itu bukan suatu jangka masa panjang bagi pemain yang pernah menjalani proses sama selama sebulan ketika mengikuti program Road To Tokyo (RTT) pada Jun lepas.

“Mereka (pemain) lebih bersedia dari segi mental berbanding kumpulan pemain junior yang langsung tidak pernah mengalaminya. Tetapi saya percaya dua minggu bukan suatu tempoh masa terlalu berat untuk dilalui pemain,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here