SHAH ALAM – Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Mohamad yang sebelum ini positif pandemik koronavirus (Covid-19) telah disahkan pulih dan dibenarkan discaj dari hospital.
Setiausaha Sulitnya, Muhammad Aedi Rizwan Suhaimi dalam satu kenyataan memaklumkan, ketuanya itu dibenarkan keluar dari Hospital Sungai Buloh hari ini selepas 11 hari menerima rawatan.
“Di kesempatan ini, pejabat Timbalan Menteri ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berserta pegawai, Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr Kuldip Kaur; para doktor dan jururawat yang telah merawat Timbalan Menteri dengan baik dan profesional.
“Kami juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang secara berterusan mendoakan kesejahteraan Timbalan Menteri sepanjang beliau menjalani rawatan. Hanya ALLAH yang dapat membalas jasa dan budi baik anda semua,” katanya menerusi kenyataannya hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air positif Covid-19
Sabtu lalu, Ahmad Masrizal mengesahkan beliau positif Covid-19 selepas ujian kedua dilakukan pada Rabu lepas.
Beliau menjelaskan, ujian pertama yang dilakukan pada 23 September lalu di Kota Kinabalu ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16. menunjukkan keputusan negatif.