Home Uncategorized Ahli keluarga staf Penjara Reman Pulau Pinang jalani saringan Covid-19

Ahli keluarga staf Penjara Reman Pulau Pinang jalani saringan Covid-19

0
Ahli keluarga staf Penjara Reman Pulau Pinang jalani saringan Covid-19

GEORGETOWN – Semua ahli keluarga kakitangan Penjara Reman Pulau Pinang yang tinggal di kuarters penjara terbabit akan menjalani ujian saringan wabak koronavirus (Covid-19) secara berperingkat bermula hari ini.

Pengarahnya, Mohamed Jusoh Ismail berkata, ujian saringan tersebut melibatkan seramai lebih 300 ahli keluarga kepada 120 kakitangan penjara yang tinggal di kuarters berkenaan.

Menurutnya, proses ujian saringan tersebut akan dijalankan di pekarangan kuarters Penjara Reman Pulau Pinang oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) yang dijangka selesai dalam tempoh tiga hingga empat hari.

“Mereka sudah dimaklumkan mengenai perkara ini malah kita sudah susun tarikh untuk mereka (menjalani ujian).

“Usaha ini bagi memastikan tiada ahli keluarga yang dijangkiti dan sekiranya ada, maka kita boleh mengambil tindakan awal bagi mencegah penularan wabak dalam kalangan mereka yang tinggal di kuarters,” katanya ketika dihubungi tadi.

Mohamed Jusoh berkata, pada mulanya, ujian saringan itu melibatkan ahli keluarga kakitangan penjara yang mempunyai kontak rapat dengan banduan yang disahkan positif namun setelah perbincangan dengan pihak KKM, pihaknya mengambil keputusan agar kesemua ahli keluarga kepada semua kakitangan turut serta menjalani saringan.

“Selepas perbincangan lanjut (bersama KKM), maka semua ahli keluarga kakitangan akan dijalankan ujian walaupun tiada petugas penjara yang disahkan positif Covid-19 setakat ini,” katanya.

Mengulas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamed Jusoh berkata, pengurusan bekalan makanan kepada kakitangan penjara berjalan lancar sepanjang dua hari pelaksanaan PKPD.

“Kakitangan yang tinggal di kuarters menerima bakul makanan manakala petugas yang tinggal di luar (diarahkan tinggal di kuarters sementara penjara kerana perlu bekerja) telah menerima makanan mentah yang akan dimasak di dapur penjara.

“Kita juga menerima makanan yang telah siap dimasak daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan Pulau Pinang; Majlis Keselamatan Negara, badan bukan kerajaan dan individu-individu.

“Kesemua bantuan makanan ini disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala bagi banduan pula, mereka diberi makanan mengikut jadual seperti biasa,” katanya.

Mohamed Jusoh berkata, kesemua 189 banduan yang disahkan positif berada dalam keadaan stabil dan masih dipantau oleh petugas KKM.

“Berdasarkan maklumat daripada doktor yang merawat, ada dalam kalangan banduan yang semakin baik dan menunjukkan perkembangan untuk sembuh,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD akan dilaksanakan ke atas penjara reman dan kuarters kediaman di daerah Timur Laut.

Beliau berkata, perintah berkenaan akan berkuat kuasa pada 15 Oktober yang membabitkan 2,306 banduan, 304 petugas dan keluarga di kuarters kediaman.

Katanya, turut terbabit ialah 220 petugas dan keluarga yang tidak menetap di dalam kuarters.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here