BANTING – Seramai 684 penduduk Flat Sungai Emas, di sini melakukan ujian saringan Covid-19, kelmarin.
Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat, Dr Wan Ahmad Razman Wan Abd Salim berkata, saringan bersasar itu dilakukan bermula jam 8 pagi melibatkan petugas PKD Kuala Langat dengan dibantu pihak polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Pejabat Daerah Kuala Langat dan Persatuan Penduduk Flat Sungai Emas.
“Ujian saringan yang tamat pada jam 1 petang itu berjaya menyaring 684 penduduk flat terbabit.
“Dijangka dalam tempoh dua hingga tiga hari, kita akan peroleh hasil ujian saringan itu,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, saringan bersasar kepada komuniti ini dilaksanakan berdasarkan lokasi yang dikenal pasti hasil penilaian risiko (risk assessment) yang dilakukan semasa siasatan kes oleh pihak PKD.
Katanya, bagaimanapun masih terdapat segelintir penduduk yang masih belum melakukan ujian saringan.
“Kita sedang mengenal pasti senarai dan jumlah penduduk di flat itu. Saringan susulan akan dilaksanakan dalam waktu terdekat,” katanya.
Tegasnya, diharap semua masyarakat dapat bersama membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan selain usah leka dengan situasi terkini Covid-19.