Home Sinar15 Mempersiapkan diri ke alam digital

Mempersiapkan diri ke alam digital

0
Mempersiapkan diri ke alam digital
Sinar15
Chamil Wariya, Esther Ng, Dr Awan Ismail, Ashwad Ismail

[MUKADIMAH] Kemunculan media sosial nampaknya telah membadai media arus perdana dalam tempoh 10 tahun yang lalu.

Banyak syarikat penerbitan yang terpaksa 'gulung tikar' akibat ledakan teknologi yang menjadi sebahagian norma hidup kepada generasi baharu. Rata-ratanya gagal berdepan dengan saingan media sosial yang semakin jelas menguasai dunia dalam pelbagai bidang.

Situasi tersebut telah menimbulkan persoalan adakah media arus perdana, khususnya cetak dan televisyen mampu bertahan dalam era digital yang penuh mencabar ini?

Empat pakar media dan tokoh industri berkongsi pandangan tentang masa depan media arus perdana.

Ketua Pengarang merangkap Ketua Pegawai Kandungan The Star, Esther Ng berkata, media arus perdana perlu kembali kepada cara tradisional untuk kekal relevan.

Menurutnya, perkara tersebut penting kerana suatu hari nanti orang akan melihat kandungan yang disampaikan dan bukan platform yang digunakan.

"Tidak kisah bagaimana cara sekalipun kita sampaikan berita, kita perlu kembali kepada asas kewartawanan yang mana berita disiarkan mesti tepat dan mendapat pengesahan.

"Dalam era Covid-19 ini, orang ramai mula menghargai dan kembali kepada media yang dipercayai kerana mereka memerlukan pengesahan berita-berita yang dilihat menerusi media sosial," katanya.

Tambahnya, media tradisional tidak melaporkan tetapi mengesahkan kerana mereka memainkan peranan sebagai suara pihak berkuasa.

Justeru, katanya, penting untuk media arus perdana fokus kepada apa yang dilakukan untuk terus bertahan pada masa akan datang.

"Perkara paling penting yang perlu dilakukan oleh media ialah membawa suara rakyat yang mencerminkan kemahuan mereka.

"Memang betul media menghubungkan kerajaan dengan rakyat, namun membawa suara rakyat itu lebih penting agar mereka didengari," katanya.

Di samping itu, beliau berkata, media arus perdana juga perlu melakukan apa yang media sosial atau portal lain tidak lakukan dalam menyampaikan maklumat.

"Sejak bertahun lamanya kita telah menjadi suara rakyat, menyampaikan polisi kerajaan dan mengambil kira analisis pakar dalam menyampaikan maklumat.

"Oleh itu, media amat istimewa kerana kita mempunyai tiga perkara ini dalam menyampaikan maklumat dan kita tidak seharusnya berhenti daripada melakukannya," katanya.

Ketua Pengarang merangkap Ketua Pegawai Kandungan The Star, Esther Ng

KETUA Jabatan Teknologi Multimedia, Pusat Pengajian Multimedia dan Komunikasi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Awan Ismail berkata, media tetap akan relevan pada masa akan datang kerana masyarakat masih memerlukan fakta dalam kehidupan mereka.

"Sama ada kita suka atau tidak, masyarakat masih memerlukan media. Bagaimana untuk boikot dan tidak menggunakan media? Perkara ini tidak berterusan kerana masyarakat akan mengulang membaca, menonton dan menggunakan media.

"Atas sebab itu, media arus perdana perlu bertahan kerana manusia memerlukan lebih banyak data dan fakta untuk membuat keputusan. Benar, teknologi sangat diperlukan tetapi media adalah penyedia kandungan," katanya.

Beliau berkata, sifat media yang dinamik dan sentiasa berubah mengikut perkembangan zaman akan menjadikannya terus relevan.

Bagaimanapun, katanya, praktis media cetak perlu berubah seiring dengan keperluan semasa kerana masyarakat kini cenderung menggunakan media yang mudah diperoleh.

"Media cetak sebenarnya telah beralih kepada platform digital yang memuatkan data lebih tepat dan pantas.

"Oleh itu, media sosial akan menggantikan media cetak kerana teknologi ini merupakan medium digital terkini," katanya.

Justeru, Dr Awan berkata, terdapat tiga aspek utama perlu diberi perhatian iaitu teknologi, sumber manusia dan institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, industri media perlu membuat transisi penggunaan teknologi dengan lebih pantas dan perlu mengetahui sama ada ia memadai atau sebaliknya.

"Sementara wartawan pula perlu diberikan latihan yang tepat untuk menguasai teknologi, sekali gus menjadi pemikir.

"Institusi pendidikan tinggi juga memerlukan perubahan kurikulum agar seiring dengan industri bagi membolehkan kerjasama untuk menangani isu media, terutamanya kepercayaan masyarakat terhadap apa yang disiarkan," tambahnya.

Ketua Jabatan Teknologi Multimedia, Pusat Pengajian Multimedia dan Komunikasi UUM, Dr Awan Ismail

Media arus perdana perlu memperkukuhkan jenama mereka di alam maya untuk kekal relevan pada masa akan datang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya.

Katanya, perkara tersebut penting kerana jualan akhbar cetak telah menguncup sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Berdasarkan angka-angka Biro Audit Pengedaran Malaysia (ABC), akhbar cetak semua bahasa di seluruh Malaysia mencatat edaran sebanyak 3.1 juta naskhah setiap hari. Namun, jumlahnya merosot pada 2019 kepada 618,000 naskhah setiap hari.

"Tidak mustahil, akbar cetak akan mati suatu hari nanti sama macam filem kamera yang telah beralih kepada digital. Jadi, kalau akbar cetak tidak mempersiapkan jenama mereka di alam maya ia juga akan menerima nasib yang sama," katanya.

Menurutnya, terdapat dua faktor penting kenapa media perlu berada di alam maya untuk terus kekal relevan pada masa akan datang.

"Pertama ialah faktor penolakan yang mana edaran akhbar cetak telah jatuh dan menjejaskan jualan hariannnya. Hanya mereka yang mahu mendapatkan maklumat menerusi akhbar cetak sahaja membelinya pada masa akan datang.

"Kedua ialah faktor penarikan yang mana teknologi internet telah melahirkan generasi digital. Generasi ini bergantung kepada alam maya untuk mendapatkan maklumat dan jumlah mereka semakin membesar dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang," tambahnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan akhbar cetak masih relavan pada masa akan datang cuma edarannya sukar "Selagi ada pembaca yang mahu mendapatkan maklumat dalam bentuk cetak, selagi itu ia diperlukan.

"Selain itu, akhbar cetak juga masih diperlukan pada masa akan datang kerana pengiklan di Malaysia ini masih cenderung mengiklan dalam bentuk cetak, sekali gus membantu media menjana pendapatan walaupun edaran akhbar telah menyusut jumlahnya," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute, Datuk Dr Chamil Wariya

Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail berkata, media akan terus kekal relevan kerana tahap kepercayaan masyarakat terhadap entiti berkenaan semakin meningkat sejak kebelakangan ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Menurutnya, masyarakat mula kembali kepada kewartawanan tradisional kerana mereka faham tentang status pengesahan yang dilakukan oleh media.

"Mereka tahu sesuatu informasi itu perlu pengesahan yang mana ia mestilah tepat dan sahih sebelum didedahkan kepada masyarakat.

"Atas sebab itu, tahap kepercayaan mereka terhadap media dilihat semakin meningkat, terutamanya dalam situasi Covid-19 ketika ini yang mana mereka memerlukan maklumat bagaimana cara mengatasi dan hidup dengan wabak ini," katanya.

Bagaimanapun, Ashwad berkata, relevan atau tidak sesuatu media itu bergantung kepada medium yang digunakan sama ada cetak ataupun digital.

Sekiranya organisasi media gagal menentukan medium yang digunakan, media akan ditelan oleh ombak pasaran "Berdasarkan statistik Reuters Institute Digital pada 2020, terdapat penurunan ketara jualan media cetak. Rumusan kami mendapati jualannya menurun disebabkan oleh sekatan kawalan pergerakan maka tidak ramai orang dapat "Sementara digital pula meningkat tetapi platform tersebut tidak mempunyai satu formula yang tepat untuk menghasilkan satu modul perniagaan sempurna berdasarkan operasi media cetak kepada digital," tambahnya.

Justeru, untuk kekal bertahan, beliau berkata, media perlu menjalinkan kerjasama strategik sesama mereka.

"Contohnya macam kerjasama yang dilakukan antara Sinar Harian dan Astro Awani walaupun pada dasarnya kedua-dua entiti media tersebut adalah pesaing tetapi mereka masih ada ruang dan peluang untuk bekerjasama agar perniagaan dapat berkembang.

"Kerjasama ini juga bertujuan untuk berdepan dengan gergasi-gergasi seperti Facebook dan Google yang mengawal pasaran, kaedah dan formula platfrom digital, sekali gus menentukan jatuh bangun perniagaan media dijalankan," katanya.

Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here