Home Sinar15 Cerita sebuah kelahiran

Cerita sebuah kelahiran

0
Cerita sebuah kelahiran
Penulis dan Allahyarham Datuk Jalil antara perintis awal Sinar Harian di Pengkalan Chepa.
Sinar Harian terkenal dengan Skuad Cakna di seluruh negara.
Inilah muka depan pertama Sinar Harian 15 tahun lalu.

PADA 2006, saya masih bertugas sebagai editor di akhbar tabloid Bacaria. Saya masih ingat lagi, pada awal bulan Julai tahun tersebut saya mendapat arahan daripada syarikat untuk membantu team Sinar Harian di Pengkalan Chepa, Kelantan.

Bebannya seolah-olah ada batu yang terhempas di jemala. Mahu tidak mahu, saya terpaksa akur dengan arahan 'paksa rela' syarikat untuk bertugas di Kelantan, sebuah negeri yang begitu asing kepada saya ketika itu untuk menerbitkan sebuah akhbar baru.

Sinar Harian ketika itu lagi dua minggu hendak diterbitkan. Bersama saya beberapa tenaga kerja dari Shah Alam yang dipinjamkan untuk memantapkan lagi Sinar Harian iaitu Imran Mohd Nor, Khairul Amri Yasin dan Ariffin Yasin.

Menyambut kami ketika itu Ketua Pengarang Kumpulan, Allahyarham Datuk Jalil Ali; Pengarang Kanan, Sri Diah Shaharuddin; Pengurus Editorial, Rusmini Fadzil; Editor Rencana, Norman Ahmad Radzuan dan Ketua Wartawan, Ong Boon Teck.

Sudah hampir setahun team itu berkampung di Pengkalan Chepa untuk menyiapkan asas Sinar Harian. Menariknya, semua tiada pengelaman menerbitkan akhbar kecuali Datuk Jalil.

Kami hanya berbekalkan semangat dan keyakinan bahawa akhbar ini akan menjadi pilihan pembaca satu hari nanti.Ketika itu beberapa sub editor diketuai Darina Osman dan grafik diketuai Sarimah Mokhtar sedang bertungkus-lumus melakukan dry-run di news room yang berada di tingkat 2 bangunan kilang Ultimate Print.

Sekumpulan wartawan pelatih yang baru keluar universiti begitu bersemangat.

Walaupun akhbar masih belum ada, mereka tetap sibuk mencari bahan berita. Sampaikan ada yang bertanya, Sinar Harian ini akhbar apa, tak ada kat kedai pun? Saya tidak ingat jumlah sebenar wartawan tetapi ada lebih 20 orang. Ada di Kelantan dan Terengganu. Di setiap daerah ada seorang wartawan yang dikenali sebagai Skuad Cakna. Cakna bermaksud prihatin. Tapi ketika itu istilah ini tidak popular. Hanya setelah Sinar Harian menggunakannya, barulah istilah Cakna menjadi sebutan masyarakat.

Konsep Skuad Cakna memang unik. Setiap skuad diberikan sebuah kereta Perodua Kancil, satu gajet PDA (Personal Device Assistant) untuk komunikasi dan menghantar berita kerana dilengkapi dengan internet serta serta keyboard kecil dan sebuah kamera digital SLR. Kereta Perodua Kancil berwarna merah dengan ikon kepala botak berkilat itu menjadi pejabat bergerak Skuad Cakna tersebut.

Idea Skuad Cakna itu dicetuskan Penerbit Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub. Memang gempar dan diperkatakan di seluruh Malaysia sebab satu-satunya akhbar yang memiliki wartawan di semua daerah. Cuma ketika itu tidak tular di media sosial seperti sekarang sebab zaman itu belum ada Facebook atau WhatsApp lagi.

31 Julai sejarah dilakar Sinar Harian dilahirkan tepat pada 31 Julai dengan tajuk muka depan 'Sebuah Kelahiran' sebagai satu simbolik. Tajuk itu ditulis sendiri oleh Datuk Jalil. Sambutan ketika itu cukup luar biasa. Dengan hanya beberapa keluaran Sinar Harian sudah mampu mendahului akhbar-akhbar lain di Pantai Timur.

Kenapa Sinar Harian diterima di Pantai Timur? Selain harganya yang murah iaitu 50 sen atau Ôsamah jahÕ, orang Kelantan dan Terengganu merasakan Sinar Harian sebagai akhbar mereka kerana penuh dengan berita kampung dan daerah, konsep yang sama sekali berbeza dengan akhbar mainstream yang lain.

Selama dua minggu bertungkus-lumus menyiapkan akhbar, hanya satu perasaan apabila Datuk Husammuddin menekan butang mesin cetak ketika itu – TERUJA.

Bayangkan dalam tempoh dua bulan sebelum itu, kami terpaksa bekerja tujuh hari seminggu dari jam 9 pagi hingga 12 malam. Sampai makan pun depan komputer!Itulah pengorbanan. Ternyata sangat berbaloi terutama apabila melihat Sinar Harian hari ini menjadi sebuah akhbar mainstream yang terkenal dengan tagline, Cakna & Dinamik. Sekarang sinonim dengan Telus & Tulus.

Masih teringat Datuk Fickry Yaacub akan memeriksa setiap baris ayat menggunakan pembaris. Datuk Jalil pula tekun membuat penyuntingan dan menulis artikel sampaikan arwah pernah berkata, "Aku nak kencing pun tak sempat." Arwah memang begitu komited. Padahal bilik air betul-betul di sebelah biliknya!

Kini, Sinar Harian sudah mencecah 15 tahun. Sudah masuk usia remaja yang penuh pancaroba. Pelbagai rintangan dan cabaran telah ditempuhi. Namun kesetiaan pembaca membuatkan Sinar Harian terus kuat. Malah ia adalah kejayaan pembaca sekalian yang menjadikan akhbar ini terus bertahan.

Dengan dinamikanya, Sinar Harian terus melebarkan sayap daripada konsep akhbar komuniti kepada sebuah akhbar nasional dan kini akhbar paling tinggi jualan serta paling banyak bacaan di online.

Al-Fatihah buat tiga pengasas Sinar Harian yang lebih awal meninggalkan kami iaitu Datuk Fickry, Datuk Abdul Jalil Ali dan Abd Jalil Yusop (Editor Berita pertama).

Terima kasih juga kepada bekas Ketua Pengarang, Norden Mohamed yang mengendalikan akhbar ini hampir 10 tahun dan Allahyarham Datuk Baharom Mahusin yang melakukan transformasi menjadikan akhbar ini sebuah akhbar perdana.

Kini Sinar Harian semakin gagah di bawah kepimpinan Ketua Pengarang Kumpulan baharu, Rozaid Abdul Rahman. Semoga Sinar Harian terus unggul dalam menghadapi cabaran dunia digital dan menjadi akhbar cetak yang relevan dalam industri media.

** AZMI TARMIZI ialah Pengarang Eksekutif Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here