Home Rasuah Busters Undi calon berintegriti

Undi calon berintegriti

0
Undi calon berintegriti
Sharifah Hapsah (kanan) pada program Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk ‘Integriti Wanita Dalam Politik’ di Shah Alam pada Isnin.

SHAH ALAM – Yang Dipertua Majlis Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO), Profesor Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin menekankan bahawa integriti memainkan peranan utama bagi menghindari gejala rasuah.

Justeru ujar beliau, pengundi perlu memastikan aspek tersebut wujud dalam diri seseorang calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) demi masa depan negara.

“Saya rasa PRU kali ini, fokusnya ialah integriti. Kita perlu pilih calon, misalnya lihat dari segi cara berkempen, (adakah) dia tunjukkan integriti.

“Dari pemerhatian saya ketika berkempen, (ada segelintir calon) berlori-lori yang dibawanya (mengangkut barang keperluan asas) seperti beras dan kain pelikat.

“Jadi sekarang pengundi patut tanya diri sendiri kenapa ‘mereka bawa barang ketika kempen’, jangan terima dan saya rasa tak boleh terima.

“Tanya dahulu ketua parti berkenaan, dari mana datangnya duit untuk barang-barang ini? Bila kita terima maka boleh tergadai maruah kita.

“PRU15 ini adalah masa bagi pengundi memilih mereka yang berintegriti untuk menjamin masa hadapan anak cucu kita,” katanya pada program Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk ‘Integriti Wanita Dalam Politik’.

Program itu dihoskan oleh Asmaliza Mansor yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin.

Tegas Sharifah Hapsah, jika masyarakat tetap mengambil pemberian daripada mana-mana parti politik, ia boleh dianggap sebagai rasuah sekali gus menggadai maruah diri.

“Kalau kita ambil dan terima ia seakan-akan rasuah. Jika ada calon buat demikian, tolak.

“Tidak dinafikan ada individu yang memerlukan namun fikirkan kenapa ketika ini, lagipun Jabatan Kebajikan, zakat sentiasa ada.

“Jangan terima, tunjukkan kita ada maruah, nak berubah, berubah. Ini kerana PRU15 adalah PRU pengundi.

“Dulu kita lebih mengikut kepada parti, kini kita yang menentukan. Pilih baik-baik calon, iaitu calon yang kita tahu akan membawa negara kita ke depan tanpa gejala-gejala negatif,” ujar beliau.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 19 November sebagai hari pengundian PRU15 melibatkan lebih 21 juta pengundi. SHAH ALAM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here