SHAH ALAM – Budaya rasuah boleh melumpuhkan fungsi sesuatu organisasi dan menjadikan pentadbiran negara kucar-kacir.
Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Muhammad Asri Mohd Ali berkata, gejala rasuah yang berlaku di negara ini meliputi masyarakat pelbagai kaum sama ada peringkat bawahan atau atasan.
“Jika tidak dibendung sebaik mungkin ia akan membawa kepada keruntuhan institusi kehidupan manusia.
“Ia boleh menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara, berlaku pengaliran wang ke luar negara serta negara akan kehilangan pertukaran wang asing dan modal,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Muhammad Asri menegaskan, sifat tamak, tidak bersyukur dan tidak mengamalkan wasatiyah menjadikan seseorang itu terdedah kepada melakukan rasuah.
Menurut beliau, keinginan melebihi kemampuan serta kelemahan peribadi seperti lemah iman adalah antara faktor yang mendorong seseorang itu terlibat dengan aktiviti rasuah.
Selain itu, katanya, faktor sosial, budaya dan proses modenisasi turut menyumbang dalam kegiatan rasuah di negara ini.
“Yang dimaksudkan dengan sosial dan budaya ialah di mana Malaysia mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan barangan sempena menyambut hari-hari kebesaran dan perayaan, majlis hari jadi serta hari perkahwinan.
“Hari yang baik seperti ini memberi kesempatan kepada perasuah dan penerima rasuah melakukan rasuah sama ada diminta atau disogok.
“Proses modenisasi iaitu pembangunan sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian akan memudahkan terjadinya rasuah,” tambah beliau.