
SHAH ALAM – Majlis Belia Malaysia (MBM) mencadangkan tiga langkah yang boleh dilakukan bagi menangani amalan rasuah termasuk mempertingkatkan keberadaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam semua pilihan raya.
Presidennya, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, langkah itu bagi memastikan setiap kempen yang dijalankan oleh parti politik tidak dicemari dengan unsur kegiatan rasuah ataupun salah guna kuasa.
“Bilik gerakan, anggota dan pegawai SPRM di lapangan harus diperbanyakkan supaya rakyat serta pelaku politik takut untuk mengambil dan memberi rasuah.
“Semakin banyak keberadaan pihak penguatkuasa maka semakin luas kawalan dan pemantauan terhadap aktiviti berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Ujar Mohd Izzat Afifi, peranan pemerhati pilihan raya harus diperkasakan bagi memantau perjalanan aktiviti dan kesalahan yang mungkin berlaku melibatkan calon atau parti politik terlibat.
Menurutnya, pelantikan pemerhati termasuk dalam kalangan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari gerakan antirasuah harus dilibatkan dalam setiap pilihan raya.
“Selain itu, akta pendanaan politik perlu disegerakan dibentang di dalam parlimen.
“Ia supaya semua parti politik akan bersaing dengan peraturan dan pentas yang sama adil serta mengurangkan rasuah dari parti politik,” ujarnya.
Mohd Izzat Afifi turut menyokong inisiatif SPRM mewujudkan bilik gerakan khas sempena PRK yang sedang berlangsung.
Jelasnya, langkah berkenaan wajar diteruskan dan dilaksanakan dalam semua pilihan raya akan datang bagi memastikan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh.
“MBM juga berharap bilik gerakan bukan sahaja diwujudkan di Ibu Pejabat SPRM Negeri, malah sekiranya boleh, bilik gerakan kecil turut dibuka di kawasan pilihan raya supaya memudahkan orang awam membuat laporan.
“Keberadaan SPRM di lapangan perlu dipertingkatkan agar menimbulkan rasa gentar dalam kalangan pelaku politik yang berniat untuk merasuah,” menurutnya.