Home Rasuah Busters Tingkat iltizam elak salah guna kuasa

Tingkat iltizam elak salah guna kuasa

0
Tingkat iltizam elak salah guna kuasa

Husaini (lima dari kiri) bersama pegawai dan kakitangan Kolej Komuniti Seberang Jaya menunjukkan dokumen IBR yang telah ditandatangani pada Rabu.

SEBERANG JAYA – Seramai 50 kakitangan Kolej Komuniti Seberang Jaya telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diadakan dewan kuliah kolej tersebut di sini, pada Rabu.

Pengarah Kolej Komuniti Seberang Jaya, Ts Husaini Aza Mohd Adam berkata, melalui IBR, ia jelas memperlihatkan sifat keterbukaan kepimpinan Kolej Komuniti Seberang Jaya sekali gus membuktikan usaha memerangi rasuah adalah amanah dan tugas yang perlu dikongsi oleh seluruh anggota masyarakat terutamanya penjawat awam.

Menurutnya, IBR yang dilakukan pihaknya merupakan satu inisiatif yang telah dibuat oleh pihak SPRM bagi tujuan untuk memberi penekanan dan meningkatkan iltizam untuk terhindar daripada penyalahgunaan kuasa khususnya rasuah.

“Pihak Kolej Komuniti Seberang Jaya dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang telah melaksanakan lafaz IBR dan menandatangani IBR dengan disaksikan oleh pegawai SPRM Pulau Pinang.

“IBR ini memberi penekanan kepada ikrar dan akur janji yang dibuat oleh para kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela agar sentiasa komited dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas serta berusaha menjauhi diri daripada perlakuan rasuah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap lafaz ikrar tersebut dapat membantu warga Kolej Komuniti Seberang Jaya untuk sentiasa beringat serta mematuhi undang-undang dan prosedur yang ditetapkan.

Beliau juga berharap semua pegawai dan kakitangannya sentiasa menjauhkan diri daripada terlibat dengan unsur yang boleh membawa kepada salah guna kuasa atau rasuah.